t>

Breaking News

Bersikap Jujurlah Dengan Paras Kesakitan Anda Ketika Menerima Rawatan..

Oleh : Hana Hadzrami

KISAH PAIN SCORE


Tempat kejadian : Ward orthopedik, di katil pesakit yang menjalani total knee replacement (TKR).

Doktor : Encik, lepas habis bedah lutut semalam, macam mana rasa sakit sekarang?

Pesakit : Manyak sakit doktor!! (Sambil berbual-bual dengan isteri)

Doktor : Berapa nombor sakit tu?

Pesakit : Nombor 8.

Doktor : (Aikk??) Betul ke sakit nombor 8? Kalau nombor 8, makna sakit kuat tau. Sampai nangis-nangis punya.

Pesakit : Betul!! Ini kaki manyak sakit (serius mukanya seraya menunjuk kepada tempat bedah). Saya sakit kuat punya, nombor 8.

Doktor : Tinggi sangat sakit kalau nombor 8 tu Uncle. Mungkin epidural yang masuk semalam tu dah tak jalan atau tiubnya dah beralih. Takpe Uncle, saya tukar ubat lain ya.

Epidural pesakit tersebut dikeluarkan dan diganti dengan infusi Morphine intravena yang butangnya dikawal oleh pesakit. Ia dipanggil PCA (Patient-Controlled Analgesia) Morphine. Ia sama berkesan dengan epidural.

Setengah jam kemudian....

Pesakit: Adoi adoi adoi!!! (Sambil melolong-lolong!!)

Doktor : Kenapa Encik? Sakit makin teruk ke?

Pesakit : Ini kali manyaaaak sakit. Tolong sama saya doktor!! Adoi adoi!!!!

Doktor : Saya sudah tukar ubat Uncle sebab tadi Uncle sendiri cakap sakit kuat. Tadi sakit nombor 8, sekarang nombor berapa?

Pesakit : Ini sakit nombor 80!!!!

Doktor : Mana ada sakit nombor 80 Uncle! Maksimum nombor 10 je. Agaknya tadi sakit baru nombor 2-3, sekarang baru betul nombor 8!!

Aduhai...

Moral : Bersikap jujurlah jika ditanya paras kesakitan. Jika sakit sikit tapi dikata sakit kuat, doktor terpaksa tambah atau tukar ubat lain. Yang mendapat kesan sampingan ialah anda sendiri.

Staff di hospital kerajaan pasti tak asing dengan skor kesakitan atau nama lainnya ‘pain score’. Kami akan catat dan uruskan kesakitan anda sebagaimana kami jaga tanda vital lain seperti denyutan nadi, pernafasan, tekanan darah dan suhu badan. Kami perlu pastikan paras kesakitan semua pesakit tidak boleh melebihi nombor 4.

Pain score ialah skor pengukur kesakitan yang diberikan oleh pesakit sendiri. Ia mempunyai skala 0-10. Skor 0 bermakna tiada sakit dan 10 ialah sakit kuat yang membuatkan anda hilang pertimbangan dan boleh terjun bangunan. Sakit kontraksi bersalin adalah contoh skor 8-10.

Skor 1-2 ialah sakit paling minima. Skor 3-4 ialah sakit sederhana tetapi masih boleh ditahan dan tidak menganggu aktiviti harian. Skor 5-6 ialah sakit yang agak kuat dan mula mengganggu aktiviti harian. Skor 7-8 ialah sakit yang membuatkan anda gelisah dan menangis. Skor 9-10 ialah sakit yang membuatkan anda hilang pertimbangan dan sanggup membunuh diri.

Jika masih mampu berbual dan bermain henpon, bermakna sakit anda ialah dalam skala 1-2; paling teruk 3-4. Tetapi oleh kerana anda sendiri yang memberikan skor kesakitan, terpaksalah kami percaya. Hanya anda yang rasa betapa kuat sakit anda.

P/S: Orang yang tak pernah merasa kesakitan sebenar akan mengatakan sakit tercucuk duri ialah kesakitan yang paling agung!!