t>

Breaking News

Kronologi Serangan Awal #ChristChurch 15 Mac 2019.

Seorang lelaki memasuki masjid di lokasi Christchurch pada petang Jumaat dan menembak jemaah yang sedang berhimpun di dalamnya.

Tidak lama selepas itu, bantuan kecemasan pun datang dan seluruh bandar menjadi darurat dengan dikenakan larangan berkurung atas alasan keselamatan. 



Ini adalah bagaimana kejadian itu telah berlaku pada babak awalnya;

1.40 petang : Seorang lelaki memasuki masjid bandar Christchurch dengan senjata automatik dan menembak orang di dalam masjid. Pengganas itu turut merekodkan perbuatannya secara live di Youtube. Bagaimanapun Youtube telah membuang rakaman itu dari portal mereka.

2:11 petang : Polis mengesahkan mereka sedang berhadapan dengan "situasi yang merebak" di Christchurch selepas kejadian berhampiran Taman Hagley. Kejadian di Taman Hagley adalah kejadian pertama yang mula-mula berlaku dan dirakamkan secara LIVE.

Tembakan dilaporkan didengar di luar kawasan Masjid di Deans Ave.

Seorang saksi melaporkan mendengar sekurang-kurangnya 20 das tembakan dilepaskan dan berfikir dia melihat ada tiga orang berada di atas tanah.

2:17 petang : Beberapa sekolah diarahkan dikunci dan ditutup di Christchurch, dan ketika itu semakin ramai orang mula berkumpul di masjid yang berlakunya tragedi.

Polis menubuhkan pasukan khas di pusat bandar di mana terdapatnya laporan orang ramai ditembak.

2:54 petang : Pesuruhjaya Polis Mike Bush berkata keadaan itu "serius dan berkembang" dan melibatkan penembak aktif.

Bush juga menggesa orang ramai untuk tidak keluar ke mana-mana (Christchurch) dan mesti kekal berada di dalam rumah. Orang ramai juga dinasihati kunci pintu.

Tak lama selepas itu, Lembaga Kesihatan Daerah Canterbury mengaktifkan pelan kawalan keselamatan.

Semua bangunan lain di kawasan hospital dimasukkan ke larangan perintah amaran berkurung dan orang ramai diminta untuk tidak masuk ke dalam hospital kecuali keadaan mendesak.

3:20 petang : Datuk Bandar Christchurch Lianne Dalziel berkata dia "terkejut sehingga tak tergambarkan dengan perkataan" pada insiden keganasan tersebut.

"Saya tidak akan menjangkakan apa-apa seperti ini berlaku di Christchurch, saya tidak pernah menjangka ini berlaku di New Zealand,"
katanya.

4:00 petang : Pesuruhjaya Polis, Mike Bush mengesahkan satu suspek telah ditahan tetapi memberi amaran kepada orang ramai di Christchurch berkemungkinan terdapat suspek-suspek lain yang sedang berkeliaran dan berisiko untuk menimbulkan suasana huru-hara serta mengacam keselamatan mereka.

Bush juga meminta orang Islam di seluruh New Zealand untuk menjauhi masjid di kawasan masing-masing.

"Kami faham akan ada ramai orang yang cemas tetapi saya boleh memberi jaminan kepada warga New Zealand bahawa Polis sedang berusaha untuk menyelesaikan insiden ini," katanya.

Jawatankuasa Pegawai Penyelarasan Keselamatan Domestik dan Luar Negeri - yang sering dirujuk sebagai ODESC - memulakan perbincangan di Ibu Pejabat Polis Negara di Wellington untuk menanggani insiden keganasan itu.

4:10 petang - Perdana Menteri Jacinda Ardern bercakap secara terbuka untuk kali pertama berhubung dengan insiden keganasan yang menyebutnya "salah satu hari paling dukacita di New Zealand."

Ardern berkata kebanyakan di masjid itu mungkin pendatang - tetapi mereka adalah "kami" - yakni orang New Zealand. Namun pengganas itu bukan, katanya.




"Ini adalah perbuatan keganasan yang diluar jangkaan pemikiran dan tidak pernah berlaku sebelum ini."

Ardern mengatakan dia akan ke Wellington segera di mana dia akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan lain bagi membincangkan langkah susulan dan memahami kejadian itu dengan lebih dekat. - 15 Mac 2019.


Berita asal : Stuff.co.nz

Dialihkanbahasa oleh Sozcyili.