t>

Breaking News

Polis Kenalpasti 7 Individu Terlibat Himpunan LGBT.

Polis sudah mengenal pasti tujuh individu yang memberi ucapan pada perhimpunan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di ibu negara pada Sabtu lalu


Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah, berkata tiga daripada mereka terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berjaya dikesan dan akan hadir dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan kepada polis.

Katanya, perhimpunan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 41 Akta Hasutan 1948.

“Siasatan masih dijalankan dan kes sudah dirujuk kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, BH melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan haram golongan LGBT di ibu kota, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil penganjur acara itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit.

Sabtu lalu, lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS), aktivis serta pelajar.

Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Antara perkara yang dituntut mereka pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.


Sumber : Berita Harian Online.