t>

Breaking News

GENIUS : Bahasa Melayu Atau Tidak?

Oleh : KU SYAFIQ

GENIUS : BAHASA MELAYU ATAU TIDAK?

Kritikan terhadap pertukaran nama Permata kepada Genius seakan-akan telah terpindah kepada perbahasan sama ada kata genius itu adalah perkataan bahasa Melayu atau tidak.


Sepatutnya, ia tidak perlu pergi begitu dalam. Kritikan orang (termasuk Prof. Nik Safiah) terhadap penggunaan kata genius itu tidaklah boleh dijawab dengan pendedahan perkataan itu terkandung dalam kamus bahasa Melayu.

Memang bahasa Melayu banyak meminjam dari bahasa Inggeris. Ia sesuai dengan sifat bahasa Melayu yang anjal dalam menerima perubahan dunia. Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia banyak menghasilkan istilah baharu dan sebagai bahasa yang baik, bahasa Melayu perlu jadi anjal untuk menerima istilah-istilah itu.

Bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam istilah Latin malah Yunani ketika dua bahasa itu lebih besar pengaruhnya. Rujuk kamus etimologi, sangat banyak perkataan bahasa Inggeris berasal daripada bahasa lain.

Namun, bukanlah semudah itu kita menganggap istilah-istilah yang dipinjam sebagai istilah bahasa Melayu. Kalau kita anggap begitu, akan wujud banyak kekeliruan. Keupayaan bahasa Melayu meminjam istilah asing juga sering disalah guna apabila istilah-istilah yang sudah sedia wujud dalam bahasa Melayu turut dipinjam lalu mewujudkan kasta bahasa baharu dalam bahasa Melayu, yakni bahasa 'bombastik' yang lebih dipandang tinggi.

Setiausaha akhbar Dr. Maszlee, Zul Fikri Zamir ada menulis tentang hal ini dalam bukunya, Masharakat Melawan Mahasiswa. Zamir merujuk proses meminjam istilah daripada bahasa Inggeris sebagai proses anglisasi bahasa; yakni proses meng-Inggeris-kan bahasa.

Namun, dalam artikel itu Zamir menegaskan, anglisasi yang ingin dikritik ialah anglisasi istilah yang sudah sedia wujud dalam bahasa Melayu. Seperti bajet,kita sudah ada perkataan belanjawan tapi kenapa masih perlu menggunakan kata bajet?

Maka, adakah perkataan genius tergolong dalam hasil anglisasi yang dikritik Zamir?

Aku fikir, tidak. Bahasa Melayu tidak ada istilah khusus yang menggambarkan sifat genius. Kamus Dewan pun menafsirkan ia sebagai sangat pintar. Sangat pintar tidak sesuai jadi istilah khusus kerana ada kata penguat.

Mungkin istilah yang paling sesuai ialah geliga. Tapi geliga tidak mantap penggunaannya dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Ini kerana kita lebih kenal konsep kepintaran luar biasa melalui perkataan genius. Barat lebih terkehadapan mengkaji hal ini maka istilahnya lebih dikenali.

Berbalik kepada pertukaran Permata kepada Genius, kita tidak patut anggap kata genius sebagai bahasa Melayu. Ia boleh diungkap menggunakan bahasa Melayu tetapi ia bukanlah kata asal daripada bahasa Melayu. Seperti bajet, adakah kita mahu anggap bajet itu istilah bahasa Melayu?

Genius lebih jauh dari bahasa Melayu berbanding bajet kerana ejaannya pun tidak diubah suai. Kalau sebutan baku, ia akan jadi ge-ni-us.

Sesuatu istilah pinjaman perlu menghadapi beberapa tahap baru dapat dianggap istilah dalam sesuatu bahasa. Seperti garfu, ia boleh dianggap istilah bahasa Melayu walaupun ia dipinjam dari bahasa Portugis. Ini kerana penggunaannya sudah mantap dalam bahasa Melayu. Apa tahap yang perlu dilalui itu aku tak mampu jelaskan, cuma aku pasti ia ada. Mungkin ia ada kaitan dengan konsep bahasa kreol atau pijin, tapi aku sudah tak berapa ingat tentang itu.

Cuma, dalam artikel Zamir itu, ada dipetik pendapat tokoh bahasa dari Kenya, Ngugi Wa Thiong'o. Ngugi menjelaskan, fungsi bahasa ada dua, iaitu sebagai ejen komunikasi dan pendukung budaya. Fungsi kedua itu yang aku kritik dalam isu pertukaran nama Permata ini.

Kata Permata (mungkin juga pinjaman tapi sayangnya PRPM belum masukkan fungsi semakan etimologi maka aku tak pasti) lebih mendukung kebudayaan dan falsafah Melayu berbanding Genius. Tapi itu hanya sampingan.

Yang utamanya tentang pertukaran nama ini ialah ia tidak perlu dan tidak tepat. Genius hanya sesuai digunakan dalam satu cabang Permata, iaitu Permata Pintar. Atas sebab ini akau akan terus tolak tindakan itu.

Gambar : Slaid pertama pembentangan tentang artikel Zamir dalam kelas Sosiolinguistik dulu, masa aku semester 5.