t>

Breaking News

Rangkuman Kisah Alia, Kanak-Kanak Yang Didera Pengkid, Kekasih Ibu Kandungnya Sendiri..

Oleh : Mohd Fadli Salleh
 

Episod i) "Cikgu, saya tidur dalam bilik air hampir setiap malam. Kena basuh baju 5 orang guna tangan. Adik saya pula tidur kat luar atas simen," kata Alia sambil tersenyum.

Demi Tuhan aku tidak pernah sebak seperti hari ini. Dah banyak kes aku santuni, kes Alia paling meruntun hati.

Gambar - Cikgu Fadli Salleh
Perlahan dia selak kaki seluarnya dan kata,

"Cikgu. Ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas."

"Sakit tak?" tiba-tiba terpancul soalan bodoh dari aku.

Dia tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Senyumannya manis sungguh. Senyuman paling manis aku pernah saksikan.

Senyumannya itu merobek hatiku. Terasa dikoyak-koyak, terasa dicarik-carik hati ini.

Betapa dia menerima semua dugaan ini dengan senyuman dan ketabahan. 2 tahun bukan satu tempoh singkat. Didera ibu dan pasangan ibu sendiri (pengkid).

Hari ini, polis berjaya mengesan adik perempuannya yang berusia 10 tahun. Punya la neneknya lega bila adiknya dapat diselamatkan.

Dan si pengkit celaka itu ditangkap polis. Pengkid itulah yang banyak kali mencucuh Alia dan adiknya dengan besi panas.

Pernah merotan badan mereka bukan hanya di kaki, bahkan badan dan kepala. Ya, kepala pun pernah dirotan. 😭

Entah apa dosa anak kecil yang comel ini.

Si ibu masih bebas. Namun aku percaya tidak lama. Sehari dua lagi pasti akan ditangkap juga.

Kisahnya begini...

Ibu dan ayah Alia bercerai 2 tahun lepas. Hak penjagaan dapat kepada ayah Alia dan mereka tinggal di rumah neneknya.

Ramadan 2017, si ibu datang kata nak melawat Alia dan adiknya untuk berbuka puasa.

Namun sebaik keluar rumah, bayang mereka tidak lagi kelihatan. Alia kini berusia 13 tahun. Adiknya pula 10 tahun. Badannya kurus keding dan kecil bagai budak darjah 5. Allahu, sedihnya tengok fizikal dia.

Alia ini murid bijak. Pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa tahun 4. Namun sejak dilarikan ibu kandung, dia dan adiknya tidak bersekolah.

Adiknya pun murid yang pintar. Namun nasib mereka berdua dilarikan oleh ibu yang tidak bertanggungjawab. Tidak lagi bersekolah sejak itu.

Bahkan i/c Alia pun ibunya tidak buatkan meskipun usianya dah mencecah 13 tahun. Kejamnya. 😓

Ibunya ada kawan (pasangan). Seorang pengkid. Si pengkid durjana inilah paling banyak mendera mereka.

Ibu kerja direct selling sahaja. Menyewa bilik bersama pasangan durjana dan Alia serta adiknya.

Bertahun hidup dengan sengsara, sampai beberapa hari lepas, Alia berjaya meloloskan diri dan lari ke rumah neneknya. Terus neneknya bawa ke balai polis dan laporkan kes penderaan ini.

Bila diperiksa dan ternyata ada kesan dera yang berparut ditubuhnya.

Serbuan polis semalam tidak berjaya menjumpai adiknya. Namun hari ini, adiknya pula dapat diselamatkan dan si pengkid durjana dapat ditangkap.

Tahniah Polis diRaja Malaysia!

Aku meluangkan masa lebih kurang 20 minit bersama neneknya dan Alia. Banyak cerita yang mereka kisahkan pada aku.

Setiap cerita yang Alia bagitahu, semuanya dalam senyuman. Ah anak. Tabah sungguh hatimu.

Senyumanmu itu sangat-sangat memilukan. Kerana aku tahu kau menyorok 1001 kisah duka dan derita disebalik senyuman manismu.

Seronok Alia bila aku hadiahkan buku-buku tulisan aku. Dia sangat suka membaca. Sangat!

"Alia. Ini untuk Alia tau. Ada cikgu tulis kata-kata semangat dalam ni. Bacalah. Dan ini nombor telefon cikgu. Ada apa-apa masalah, telefon cikgu ya!"

Alia mengangguk tanda faham.

Sebelum aku pergi, dia hulur tangan untuk bersalam. Dikucup tanganku penuh ikhlas. Dia senyum dan tatap mata aku dalam-dalam.

"Cikgu. Terima kasih. Terima kasih."

Ya Tuhannn... Hampir saja air mata aku jatuh. Sedaya upaya aku telan setiap titisan air mata.

Aku perlu kuat depan Alia. Aku patut memberinya semangat. Aku hendak dia tahu aku seorang yang boleh dia harap saat semangatnya hilang.

Demi Tuhan, aku sangat ingin memeluk dia saat itu. Jika tidak kerana tegahan agama, anak ini pasti aku peluk erat-erat.

Matanya itu, senyumannya itu, raut wajahnya, memberi perasaan sebak yang sangat.

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja lantas beredar. Aku tidak lagi boleh duduk lama kerana takungan air mata hampir tidak boleh ditahan lagi.

Alia. Terus kuat. Terus tabah. Bacalah buku-buku cikgu. Ada semangat untukmu dalam buku-buku itu.

Alia. Kamu simpan nombor cikgu. Jangan malu jangan segan untuk hubungi untuk apa-apa sekali pun.

Alia. Kamu terus kuat dan tabah. Doa cikgu sentiasa ada bersama.

Alia. Kamu akan baik-baik saja. Tenanglah. Senyumlah.

Alia. Cikgu bukan sesiapa. Namun cikgu akan selalu ada. Sentiasa. Ingat tu.

Episode 2) "Kurusnya awak. Umur dah 13 tahun, tapi berat 20kg je. Awak makan apa masa mak jaga?"

"Saya makan nasi kosong tanpa lauk cikgu. Tu pun Babah (pengkid) bagi sikit je. Dua tiga suap je sekali makan," balas Alia.

Aku perhati jarinya kelingkingnya. Agak aneh jari itu kerana tidak lurus.

"Kenapa dengan jari awak?"

"Tak boleh lurus cikgu. Lengan pun sama. Agaknya kesan lama duduk dalam bilik air," pantas neneknya menjawab.


Gambar : Cikgu Fadli Salleh
Gambar - Cikgu Fadli Salleh
Termenung aku mendengar jawapan itu. Apa ke kejam manusia sebegini rupa. Nasi kosong dihidang pada budak sebesar ini dan dikurung dalam bilik air saban hari.

Dia bercerita bagaimana dia mengumpil pintu bilik sedikit demi sedikit setiap hari. Bila ibu dan babahnya perasan, dia dipukul. Dirotan. Dicucuh dengan besi panas membara. Rambutnya dipotong sesuka hati. Tombol pintu ditukar baru.

Entah berapa gelen air mata aku telan semasa mendengar kisahnya.

Namun Alia tidak mengalah. Anak kecil ini penuh bersemangat mengumpil pintu lagi sehingga suatu hari usahanya berjaya.

Pintu itu terbuka semasa tiada orang di rumah. Terus Alia ambil kesempatan melarikan diri dengan perut kelaparan dan tiada duit dalam poket.

Merayau dia kemudian meminta sedekah dari orang yang lalu lalang. Mujur ada yang kasihan beri dia sedikit wang. Dia gunakan duit itu untuk membeli makanan sebelum terpaksa meminta sedekah lagi untuk pulang mencari neneknya.

Ada insan yang baik hati berinya sedikit duit. Lepas la dia naik lrt menuju ke suatu tempat persinggahan yang tidak jauh dari rumahnya.

Berjalan kaki dia menuju ke rumah nenek. Sebaik sampai pintu diketuk, salam diberi. Neneknya membuka pintu dan kehairanan siapa budak kurus di depan rumahnya.

Neneknya gagal mengenalinya kerana sangat ketara perubahan fizikal Alia.

"Nenek. Ini kakak," katanya lantas memeluk neneknya.

Berpelukan mereka berdua dengan juraian air mata umpama air sungai yang mengalir.

Ah. Setiap patah perkataan yang Alia ungkap, aku dapat bayangkan umpama aku berada di situasi itu. Sebaknya ya tuhan...

"Cikgu. Tengok ni," katanya seraya menunjukkan tangannya.

"Ni kesan apa?"

"Mak dan babah rotan. Kat pinggang ada juga. Kepala saya pun masih sakit lagi kena ketuk dengan rotan buluh," katanya perlahan.

Aku hilang kata-kata. Tidak tahu nak beri reaksi macamana.

Agaknya dia perasan aku tengah menahan sebak, Alia tukar topik perbualan.

"Cikgu. Alia dah baca sedikit buku cikgu. Best! Tapi ada juga yang sedih. Nenek pun menangis baca," katanya sambil tersenyum.

"Wah. Alia suka ya?"

Kepala diangguk-anggukkan.

"Alia nak sekolah?"

"Nak cikgu."

"Nanti Alia dah sihat, cikgu belikan Alia baju baru, kasut baru, beg baru, alat tulis dan semua benda.

Semua benda cikgu akan tanggung. Semua benda cikgu akan belikan baru. Alia nak tak?"

"Nak, cikgu."

Bersinar sinar matanya memandang aku. Perasaan gembira dan seronok dia tidak mampu disorok lagi.

Bahagia betul aku melihat mata yang bersinar-sinar gembira itu.

"Cikgu," panggilnya perlahan.

"Apa?"

"Cikgu dah tulis banyak buku kan?"

"Tak ada la banyak sangat. Tujuh naskah semuanya. Kenapa? Awak minat menjadi penulis?"

Tiada jawapan. Wajahnya malu-malu. Kepala dianggukkan sambil memandang lantai.

Wah! Seronok betul aku.

"Bagusnya. Alia pasti boleh menjadi penulis yang hebat nanti. Alia lalui pengalaman yang jarang orang ada. Cikgu pasti Alia akan berjaya menjadi penulis yang hebat nanti. Alia belajar rajin-rajin nanti tau. Nanti cikgu ajar Alia menulis ya," balasku.

Matanya terus memandang tepat ke dalam mataku. Bersinar penuh harapan. Senyuman manis menguntum dibibir dan kepala dianggukkan berkali-kali.

Ah anak. Jiwa kau sungguh kuat. Sangat!

Dalam situasi sekarang pun kau masih berfikir untuk belajar, untuk menulis, menanam cita-cita dan untuk terus melangkah.

Sebelum beredar, Alia menghulur tangan untuk bersalam. Tanganku dikucup penuh hormat. Kemudian dia sandarkan kepalanya didada aku. Saat ini memang aku sangat sebak.

Aku gosok kepalanya dan doakan yang baik-baik untuk dia.

Saat itu aku lihat kolam matanya pula bertakung.

Aku tak hendak melihat hujan diwajah saat langit tidak mendung. Kerana aku sendiri pun menahan diri sepenuh hati, lantas aku pusing dan berlalu pergi.

Tuhan, aku tahu aku banyak dosa. Namun aku ingin bermohon padaMu agar menjaga anak ini dan rahmati dia.

Limpahi hidupnya dengan kegembiraan dan kasih sayangMu. Amin.
 

Episode 3) Sebenarnya bila Alia berkata pada aku yang dia kena basuh baju untuk 5 orang, aku tertanya-tanya juga. Setahu aku mereka hanya berempat.

Pengkid, maknya, Alia dan Aimi. Siapa lagi seorang?

Akhirnya persoalan aku terjawab semasa ziarah seterusnya. Rupanya ada seorang kanak-kanak lagi tinggal bersama mereka.

Seorang lagi adalah seorang budak lelaki berusia 3 tahun. Comel sangat budaknya.

Kulit putih melepak, mata sepet seakan berdarah Cina.

"Siapa ni Alia?" soalku pada Alia.

"Oh. Ni anak babah. Amin namanya."

La, pengkid tu ada anak rupanya. Comel pula tu. Aku mendekati Amin dan cuba berinteraksi dengannya.

Oh, anak ini ada speech delay. Dan dari sikap dan tindak balas dari Amin, dia ada ciri-ciri autism yang tidak ketara.

Aku perhati tangan dan kaki Amin. Tiada satu kesan calar pun.

"Amin tak pernah kena pukul ke?" soal aku lagi pada Alia.

"Tak cikgu. Amin makan sedap-sedap. Amin tidur atas tilam," balas Alia.

Alia dan Aimi lah yang mengasuh Amin sejak dua tahun lalu. Hubungan mereka sangat akrab bagai adik-beradik kandung.

Cantik sungguh hati Alia dan Aimi. Mengasihi anak itu sedang ibunya mendera mereka hampir saban hari.

Aku perhatikan Aimi dan Amin bermain bersama. Bergelak ketawa dan bergembira bagai tiada apa-apa masalah.

"Awak sayang Amin?"

Alia menganggukkan kepala.

"Saya selalu dukung dia dan jaga Amin kat rumah," balasnya dengan senyuman manis.

Ah anak. Hatimu bersih suci dan penuh dengan kasih sayang. Walau kamu dibenci ibunya, walau kamu disakiti, kamu mengasihi tanpa sebarang syarat.

Masih terngiang ditelinga aku Alia pernah berkata dia hanya diberi sejemput nasi kosong tanpa lauk.

Masih terbayang dimata aku bagaimana Alia muntah bila neneknya memberi makanan yang sedap-sedap dengan lauk yang banyak.

Agaknya perut Alia terkejut. Sudah biasa makan nasi kosong bertahun lama, jumpa lauk sedap perutnya tak boleh terima.

Tidak terungkap sedihnya aku bila dapat tahu anak kecil ini dirotan bertalu-talu di kepala dan badan. Lebih memeritkan, dicucuh besi panas diseluruh badan.

Paling aku sedih bila membayangkan Alia kepenatan sampai di rumah nenek dan mengetuk pintu rumah. Saat neneknya membuka pintu, neneknya tidak mengenalinya.

"Nenek, ini kakak," katanya terus memeluk nenek tersayang.

Ah, babak itu sentiasa bermain diminda hingga aku menitis air mata.

Gambar - Cikgu Fadhli Salleh
Walau sebegitu diperlaku, dia mengasihi Amin dengan sepenuh hati. Jelas melalui layanan Alia dan Aimi semasa ziarah aku tempoh hari.

Pengkid dan ibunya dah ditahan reman 7 hari. Alia, Aimi dan Amin kini dalam jagaan yang selamat.

Alia dan Aimi akan dijaga oleh ayah dan nenek mereka manakala Amin akan dibantu oleh JKM sehingga habis perbicaraan.

Sementara itu, kalian sabarlah. Kiriman kalian melalui Dana Kita aku jaga sebaiknya.

Sebaik kes mereka selesai, semua kelengkapan persekolah akan aku sediakan. Pakaian baru untuk jalan-jalan, baju raya, mainan, alat tulis dan sebagainya akan aku sediakan.

Alia dan Aimi. Ketahuilah anakanda, betapa ramai orang sayangkan kalian.

Sangat ramai orang mendoakan kalian. Dan sangat ramai orang bersyukur kalian diselamatkan.

Cikgu bukan sesiapa. Namun kamu kamu adalah istimewa dihati cikgu.

Jangan risau Alia dan Aimi. Cikgu bukan membantu kamu semasa kes tengah panas dan ramai orang tahu.

Bantuan cikgu, InsyaAllah akan berpanjangan sentiasa. Walau suatu hari nanti kisah kamu akan dilupakan, walau suatu masa nanti tiada lagi orang akan ingat kisah ini.

Cikgu akan selalu ada. Cikgu akan selalu setia.

Kerana Dana Kita yang cikgu usahakan bukan bantuan bermusim. Ia bantuan berpanjangan. Walau tidak banyak, tapi sentiasa ada.

Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang terus menerus menyokong usaha aku.

Tanpa kalian, aku rebah sendirian.

Terima kasih dari hati. ❤️