t>

Breaking News

Ini Tips Tanam Nanas Sehingga Berjaya Untung Jutaan Ringgit!

Oleh : Azuan Abdullah

Tips Tanam Nanas MD2 : Tahun Pertama Tanam 3,000 Pokok, Lepas 4 Tahun Boleh Tanam 54,000 Pokok Dengan Penjimatan Kos RM81,280.00”

 

 
Saya masih ingat lagi pesan sifu saya dua tahun lepas. Kata beliau, tanam nanas MD2 ni boleh buat kita jadi kaya jika betul caranya. Tak kena gaya, papa kedana kita dibuatnya. Buat dulu sikit – sikit, bermula dengan apa yang ada ditangan.

Dalam pertanian ni, tiada jalan pintas untuk kita berjaya. Hang ingat aku buat terus berjaya ke? 10 tahun lebih penat jerih aku selama ini, baru aku ada ladang seluas ini. (Untuk makluman, beliau ada 100 ekar lebih nanas MD2).

Wan, ko tengok je dia selekeh macam tu, tapi duit berkepuk-kepuk tau. Dua minggu lepas baru je bayar 4 unit bangunan rumah kedai. Tak silap aku, 1 unit harga dia RM700,000.00 lebih, kawan baik beliau menyampuk perbualan kami.

Mata aku terkebil – kebil dengar cerita tu. Bila RM700,000.00 di darabkan dengan 4 unit, maknanya RM2,800,000.00 beliau laburkan beli asset untuk jangka masa panjang.

Saya rasa was-was. Terus saya tanya, semuanya hasil duit nanas ke? Ya jawab beliau spontan. Hang jangan ghairah sangat dengan cerita tu, yang aku rugi 2-3 juta dia tak nak cerita pulak.

Rugi 2-3 juta? Biar betul tanya saya sekali lagi nak kepastian.

Betul. Masa tu ladang kena serangan penyakit yang teruk. Tak dapat nak dipulihkan. Kita sedap berkira-kira nak dapat duit. Sekali Allah hantar ujian sikit, apa yang kita boleh buat? Redha je. Ada sebab la tu Allah tarik rezeki masa tu.

Hang nak tahu tak macam mana nak berjaya dengan nanas MD2 ni?

Mestilah nak, ilmu yang super mahal ni jawab saya spontan.

Baik. Dengar elok-elok ye.

1. Belajar tanam dalam kuantiti yang sedikit dulu, antara 1,000 hingga 3,000 pokok. Guna modal apa yang ada ditangan, jangan berhutang. Tak perlu tamak kira-kira, kayuh slow-slow.

2. Dalam tempoh tu, belajar betul – betul pasal pokok nanas MD2. Kenal apa yang pokok nak dan tahu apa risiko yang bakal kita hadapi. Jadikan ia sebagai panduan untuk masa akan datang.

3. Jaga pokok betul-betul biar sihat dan subur. Target supaya 95% daripada pokok yang kita tanam dapat buah gred A. Jaga buah supaya berkualiti, manis dan cantik bentuknya. InsyaAllah bila orang cuba sekali, mereka akan nak repeat lagi.

4. 3,000 pokok tu plan jual buah secara runcit je dulu kepada kawan-kawan. Kita hormone 500 pokok seminggu. Sambil – sambil tu bina la hubungan dengan seramai yang mungkin. Simpan database. Tujuannya untuk memudahkan urusan pemasaran bila tanam banyak – banyak nanti. Boleh jual buah dan anak benih sekali.

Kenapa aku suruh hang tanam sikit dulu, tak tanam terus 1 ekar?

1. Lebih 50% dari kos tanaman nanas adalah kos belian benih. Jika tanam 1 ekar dengan kepadatan 14,688 pokok dan anggaran harga benih adalah RM1.50 / pokok. Maka kos belian anak benih adalah sebanyak RM22,032.00.

2. Maksudnya, 1 ekar nanas MD2 perlukan kos lebih kurang RM40,000.00 dan lebih.

3. Bayangkan jika pokok kita tu kena serangan penyakit, kena bencana atau hasil tak boleh jual. Berapa banyak kerugiaan yang kita terpaksa tanggung. Masa ni la kita sibuk duk canang cerita bahawa tanam nanas MD2 ni merugikan. Kita yang bodoh sombong, tak pasal-pasal nanas MD2 yang disalahkan.

4. Jika projek gagal, kerugian yang ditanggung lebih kurang RM9,000 sahaja berbanding RM40,000.00 jika kita tanam 1 ekar terus.

Mesti hang fikir, kalau macam tu lambat la nak kaya. Sama tak apa yang aku cakap ni dengan apa yang hang fikir dalam kepala tu?

Ye la, tanam 3,000 pokok je, bila nak kaya soal saya lagi.

Macam aku cakap tadi, tanam nanas ni bukannya kita tanam hari ini, esok lusa boleh terus kaya. Tunggulah lepas lima tahun, insyaAllah kita akan senang.

Kenapa 5 tahun?

1. Tahun pertama tanam 3,000 pokok. Modal beli benih sekali je kita keluarkan. Anggaran benih RM1.50/pokok, maka kosnya adalah RM4,500.00

2. Lepas 1 tahun, kita dapat hasil. Andaikan 85% daripada pokok tersebut boleh keluarkan anak benih. Setiap pokok boleh hasilkan 5 anak benih. Maka kita akan dapat benih 12,750 pokok, dah dekat 1 ekar kita boleh tanam tu.

3. Tahun kedua kita tanam 12,750 pokok. Kita dah dapat jimatkan kos anak benih sebanyak RM19,125.00

4. Masuk hujung tahun ketiga kita dah dapat kutip buah daripada 12,750 pokok tu. Lepas kutip buah, mesti kita akan dapat anaknya pula. Andaikan 5 anak untuk satu pokok dengan perkiraan 85% daripada jumlah pokok. Maka, anak benih yang kita dapat adalah, 5 x 0.85 x 12,750 = 54,187 pokok.

5. Jadi, pada tahun keempat kita dapat tanam nanas MD2 sebanyak 54,187 @ 3.6 ekar dengan penjimatan kos belian benih sebanyak RM81,280.00

Boleh nampak kan, dengan bermula hanya 3,000 pokok pada tahun pertama, selepas 4 tahun usaha kita, akhirnya tahun keempat dah ada 54,187 pokok nanas MD2 dengan anggaran penjimatan kos belian anak benih sebanyak RM81,280.00

Wan, aku ada dua pesanan untuk hang.

1. Setiap orang Allah kurniakan cara fikir tak sama. Ada orang yang positif dan ada juga yang negative. Berkawanlah dengan orang yang positif dan tinggalkan mereka yang negative. Usah buang masa berdebat dengan mereka. Jalan terus atas padang kita.

2. Bila orang datang kebun, bagilah mereka rasa hasil kebun kita, jangan kedekut. Banyakkan memberi. Percayalah, ianya tak rugi. Pasti Allah akan gandakan lebih banyak lagi dalam pelbagai bentuk yang tak terfikir dengan akal kita.

Mintak tolong sebarkan info yang bermanfaat ini kepada yang lain SEBAB info ini akan sangat bermanfaat bagi orang lain juga.

p/s : Boleh follow Azuan Abdullah & Set See First ye supaya tak terlepas kisah inspirasi dan pengalaman dalam pertanian ini.

** Satu pokok induk nanas MD2 boleh hasilkan lebih 10 anak benih jika ianya diuruskan dengan betul.

Azuan Abdullah
Baru Belajar Step Satu