t>

Breaking News

Satu Lagi Kes Buli Dan Mati, Kanak-Kanak 7 Tahun Jadi Mangsa. - Majlis Tahfiz Negara Perlu Bertindak.

SEMASA | Pagi ini kita dikejutkan dengan berita yang mendukacitakan apabila portal Harian Metro melaporkan kematian seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun dipercayai akibat di pukul oleh rakan-rakan sekelas tahfiznya.


Beberapa fakta mengenai insiden itu ialah;


1. Lokasi tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang.



2. Tahfiz itu hanya mempunyai 4 pelajar sahaja.

3. Tahfiz itu dibina tanpa kebenaran dari Majlis Agama Islam Pahang.

4. Mangsa berusia 7 tahun, manakala tiga pelajar lain berusia 13 tahun. 

5. Mangsa dihantar ke tahfiz tersebut bersama abang tirinya.


6. Mangsa ditemui dalam keadaan yang lemah. Warden wanita kemudiannya membawa ke Klinik Kesihatan Lanchang sebelum disahkan mati oleh Pegawai Perubatan.


7. Siasatan mendapati, ada kesan lebam ditemui di atas badan mangsa.

Ini adalah satu lagi kes buli dan mati melibatkan kanak-kanak sekolah, samada sekolah biasa ataupun tahfiz, ataupun berasrama penuh dan universiti, kegiatan buli semakin kritikal dikalangan anak-anak muda.

Oleh kerana kes buli ini membabitkan institusi tahfiz, maka perbincangan seterusnya akan mengarah ke arah itu agar ianya lebih mengkhusus.

Baru-baru ini Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Rawa mengumumkan Majlis Tahfiz Negara dalam proses perlaksanaan dan ianya akan dilancarkan sepenuhnya pada tahun 2020.

Oleh kerana kita masih berbaki kurang dua bulan sebelum menjelangnya 2020, maka kita patut ambil kesempatan ini untuk memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Agama agar memberikan pertimbangan sewajarnya bagi membanteras kegiatan buli, liwat, tidak senonoh yang berlaku di tahfiz-tahfiz seluruh negara.

Hal ini sangat penting kerana ia mendatangkan persepsi yang buruk ke atas agama jika tidak diselesaikan sehingga ke peringkat akarnya.

Cadangan;

1. Mulai tahun 2020, setiap tahfiz perlu didaftarkan dibawah Majlis Tahfiz Negara. Tidak boleh tidak, jika gagal berbuat demikian kerajaan negeri dan pusat patut diberikan kuasa untuk menutup tahfiz tersebut secara paksa.

2. Setiap tahfiz juga perlu mematuhi beberapa SOP sebelum dibenarkan beroperasi. Misalnya dari segi keselamatan, silibus, asrama dan pekerjanya. Tanpa permit, tahfiz itu tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi.

3. Seperti yang kita tahu, di sekolah-sekolah awam, di universiti swasta mahupun kerajaan, setiap pengajar mempunyai jadual dan jam kredit mengajar. Di tahfiz, perkara seumpama ini tidak wujud. Maka ustaz-ustaz ini lebih longgar ketika mengajar. Samada mengikut jadual ataupun tidak. Untuk itu, ketegasan perlu dilakukan agar ustaz-ustaz ini benar-benar mengajar pelajar mengikut masa dan tempoh yang dijanjikan (seperti jadual yang diberikan kepada ibu bapa). Perlu ada rakaman bagi membuktikan mereka benar-benar mengajar.

4. Terdapat ibu bapa yang menghantar anak-anak nakal ke tahfiz selepas beranggapan gagal mengawal anak-anak di rumah. Seperti yang diketahui, pendidikan bermula dari rumah. Kegagalan ibu bapa ini tidak patut mengheret kepada institusi tahfiz. Oleh itu, perlu ada peraturan yang tertentu dalam menerima pelajar-pelajar baru. Bahkan jika menerima pelajar nakal, mereka perlu ada tempoh percubaan. 

5. Perlu ada CCTV dalam kawasan tahfiz, termasuklah dalam kelas dan bilik asrama, bagi membendung kegiatan buli dan aktiviti liwat.

6. Setiap pihak yang mahu membuka tahfiz perlu menghadiri kursus dibawah Majlis Tahfiz Negara. Setiap pengajar perlu mendapatkan sijil dari Majlis Tahfiz Negara sebelum dibenarkan mengajar. 

7. Institusi tahfiz patut mempunyai lesen dan tempoh perbaharui. Ini akan mendidik mereka untuk lebih berdisplin bagi membolehkan memperbaharui lesen.

8. Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke tahfiz perlu diberikan ruang untuk review tahfiz tersebut melalui satu peraturan yang dikawalselia oleh Majlis Tahfiz Negara. Katakan review dibuat setahun sekali di waktu akhir tahun, secara pengisian online dan ianya wajib diisikan oleh ibu bapa.

9. Perlu ada daftar tahfiz, seperti pelajar-pelajar di sekolah kerajaan. Senang cakap seperti senarai pelajar tahfiz seluruh negara. Jika mereka belajar di Tahfiz, nama-nama mereka perlu didaftarkan dan sistem penyenarai itu pula dikawal oleh Majlis Tahfiz Negara. Mereka juga perlu ada kad pelajar. Selain itu, institusi tahfiz perlu menyenaraikan kelakuan pelajar sepanjang mengajar mereka setiap tahun. Catatan tinggi, berat dan keaktifan sukan juga perlu ada. Guru-guru tahfiz ini perlu lebih peka dan skop kerja mereka perlu lebih terperinci.

10. Setiap tahfiz yang mempunyai kes, akan direkodkan. Jika melebihi dari 10 kes misalnya, tahfiz itu perlu ditutup. 

Sesetengahnya akan beranggapan cadangan ini keras dan seolahnya menyusahkan tahfiz untuk beroperasi. 

Sesetengahnya pula akan menuduh ini cubaan menyekat perkembangan agama Islam.

Mereka mempunyai pandangan sebegini bukanlah kerana mereka bodoh dan tak faham kepada realiti semasa, tetapi kerana bukan anak-anak mereka yang menjadi mangsa.

Bukan anak mereka yang mati dibuli.
Bukan anak mereka yang diliwat dan trauma.
Bukan anak mereka yang nakal dan jahat.

Hakikatnya, kita perlu bertindak tegas dan mengawal institusi tahfiz seluruh negara dengan peraturan ketat kerana nak menghentikan semua perkara-perkara negatif ini. Baik dibuli, baik mati, baik diliwat, baik membuat perkara tak bermoral, semua sekali perlu diperangi atas nama menjaga kesucian agama ini. - 8 November 2019.