t>

Breaking News

Yang Lebih Bersalah Wakil 'Republic Of Malaysia', Bukannya Penganjur..

SOSMED | Penganjur Miss Crystal Angel International 2019 akhirnya tampil membuat permohonan maaf menerusi Facebook rasmi mereka selepas dikritik netizens kerana melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara republik baru-baru ini.

 
"Pengumuman rasmi


Kami sebagai penganjur Miss Crystal Angel International 2019 dari Myammar, ingin membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyalahgunakan nama Republik Malaysia. Kesilapan ini bukannya datang dari peserta yang mewakili Malaysia sebaliknya dari pihak kami. Sekali lagi kami mohon maaf di atas kesilapan itu.

Ikhlas dari kami,

Penganjur Miss Crystal Angel International 2019," jelasnya dalam satu kenyataan. 

Permohonan maaf dari penganjur itu bagaimanapun tidak dilayan netizens. Netizens sebaliknya tetap menghamburkan kata-kata kemarahan kerana menyifatkan penganjur sengaja melakukan kesilapan itu meskipun mengetahui Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem monarki.

Berdasarkan semakan, terdapat dua peserta yang mewakili Malaysia dengan satu wakil disebut dari Malaysia dan satu lagi wakil disebut dengan nama Republik Malaysia.

Wakil Republik Malaysia itu adalah peserta dari Borneo, yakni gabungan Sabah dan Sarawak.

Hal itu menimbulkan kemarahan netizens kerana dibayangkan terdapat percubaan untuk menghina kedaulatan negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan disamping memecahkan semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak kepada dua buah negara yang berbeza.

Acara ratu cantik itu dianjurkan di Myammar pada 4 November lalu. 

Selain penganjur yang menjadi bahan kecaman, peserta yang sanggup memakai label itu dan secara terang-terangan mengakui mewakili Republik Malaysia juga dipersoalkan netizens.




"Sejak bilakah Malaysia menjadi sebuah negara sehingga dipanggil sebagai Republik of Malaysia?

Semakin ramai yang ‘test water’ dan mengikut trend akan meminta maaf dengan pelbagai alasan seperti terlepas pandang, kesilapan teknikal, tiada pengalaman dan seribu satu alasan.

Semasa mengkaji untuk menulis status ini, terjumpa laporan berita dari The Star > Please welcome our next contestant from the 'Republic of Malaysia'? https://www.thestar.com.my/…/please-welcome-our-next-contes… di mana penganjur mengatakan bukan salah peserta?.


Apakah peserta dipaksa menyebut beliau dari Republic of Malaysia? Kalau dari Malaysia bukankah dia sepatutnya membetulkan penganjur dan bukannya dengan bangga memakai lilitan tertera Republic of Malaysia dan kemudian memperkenalkan diri dari Republic of Malaysia?

Ini isu kedaulatan dan kesetiaan kepada negara bukan isu politik atau agama,"
soal pendakwah terkenal, Ustaz Firdaus Wong di Facebooknya pada Selasa. 

Rata-rata netizens beranggapan kesalahan paling besar dilakukan oleh wakil negara dan bukannya pihak penganjur kerana peserta itu dengan sengaja memperkenalkan diri sebagai wakil Republik Malaysia sedangkan dia mengetahui secara jelasnya hanya ada Malaysia. 

Tindakan itu juga dibayangkan gerakan memisahkan Malaysia kepada dua, semakin meluas sehingga dibawa ke peringkat antarabangsa. 

Pihak polis juga digesa oleh sebilangan netizens untuk membanteras pihak-pihak yang mempunyai niat mencabar kedaulatan negara sebelum kumpulan itu menjadi semakin kuat dan ganas.

Peserta yang terpalit kontroversi itu dikenali sebagai Jeniffer Wong dan berusia 23 tahun. 

Setakat ini, peserta itu belum lagi tampil dimana-mana media bagi memberikan maklum balas atas insiden ini. - 6 November 2019.