t>

Breaking News

Bekas Pelajar SMK Puchong 1 Dedah Cerita Sebenar Disebalik Perhiasan Tahun Baru Cina Terlampau..

Semalam, SMK Puchong 1 telah dipertikaikan oleh peguam Putra, Buzze Azam kerana memaparkan perhiasan Tahun Baru Cina yang dianggap keterlaluan.

Perhiasan ini juga pada anggapannya menyalahi perlembagaan dan mempengaruhi kepercayaan pelajar Islam.

Berikut dibawah adalah pengalaman dari bekas pelajar SMK Puchong 1 sendiri yang menceritakan bagaimana fenomena itu sebenarnya adalah perkara biasa saban tahun di sekolah itu.

Oleh : Mohamed Aiman Shah

Saya terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan dengan isu “perhiasan Tahun Baru Cina terlampau” di SMK Pusat Bandar Puchong 1(SMKPBP1). Saya menulis luahan ini sebagai seorang bekas murid sekolah keramat ini dari tahun 2011-2015 yang telah banyak berjasa dalam membentuk saya menjadi murid yang memaknakan pendidikan menengah dalam memacu kehidupan yang lebih gemilang.

 

 
Di SMKPBP1, nisbah murid sememangnya tidak seimbang kerana Puchong sememangnya dipenuhi dengan penduduk berbangsa Cina secara majoriti. Secara nisbah dalam satu kelas yang mempunyai 45 orang, boleh dikatakan 25 murid adalah bangsa Cina, 15 berbangsa Melayu dan 5 berbangsa India. Saya tidak pasti adakah nisbah ini telah berubah tapi kurang lebih itulah nisbah ketika saya menjadi warga SMKPBP1. Semasa saya berada di Tingkatan 5, boleh dibilang berapakah jumlah murid Melayu dalam kelas seramai 45 orang. (Saya, Neezal, Taj Izrin, Luqmanul Hakim, Dariwsha & Izzah). Namun begitu sekolah tidak pernah mendidik kami dengan sentimen perkauman.

Kami tidak mengenal apakah itu racism semasa zaman sekolah. Kami belajar dalam satu kelas yang sama, kami makan bersama semeja di kantin, kami bersukan dan beriadah bersama (pernah kena denda dengan Guru Disiplin kerana bermain bola sewaktu hujan🤣) tapi itulah realitinya. Sekolah kami ada Kelab Tarian Singa yang professional, Kelab Diabolo, Wind Orchestra tak ketinggalan juga sekolah ada pasukan nasyid, tarian zapin juga. Setiap kali berlangsungnya apa jua perayaan, semua pertunjukan ini mewarnai Dataran Wawasan SMKPBP1. Uncle Kuan Chee Heng yang menjadi YDP PIBG kami juga sebagai aktivis sosial banyak membantu orang Melayu berbanding dengan bangsa lain secara relatifnya.

Setiap kali tiba musim perayaan baik Sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali, perayaan ini akan diraikan secara meriah seolah-olah pesta. Kita belajar kebudayaan kaum lain dan menyemarakan semangat muhibbah dalam kalangan murid dan juga guru. Bergurau senda, bergelak ketawa, lagu perayaan berkumandang di corong radio Wawasan.Fm menghidupkan lagi suasana perayaan di sekolah. Rumah terbuka dianjurkan pihak sekolah menjemput segenap lapisan masyarakat bersama-sama atas semangat Muhibbah Rakyat Malaysia meraikan perayaan-perayaan tersebut. Sekolah menjadi instrumen utama perpaduan dalam kalangan warga SMKPBP1 dipupuk dan disemai tanpa sebarang api kebencian perkauman yang didendangkan pada hari ini.

Berhenti menjadikan pendidikan sebagai alat mencapai matlamat politik. Ini sekolah bukan pentas sandiwara politik. Kami ke SMKPBP1 untuk belajar bukan untuk membenci sesama rakan kami kerana perbezaan bangsa agama dan budaya. SMKPBP1 teruskan menyemarakan semarak perpaduan kerana ia adalah satu warisan kita yang kalis masa depan dan rentas zaman. Pendidikan sepatutnya mekanisme menyatukan rakyat Malaysia secara telus tanpa unsur dan campur tangan pihak jahat yang berniat memporakperandakan keharmonian yang telah kita capai selama ini. Kami meletakan sepenuh kepercayaan kepada pentadbir SMKPBP1 untuk mengemudi kami agar terus BERWAWASAN BERKETERAMPILAN DAN CEMERLANG!

MOHAMED AIMAN SHAH JOHAN SHAH
8 Januari 2020
UiTM CAWANGAN NEGERI SEMBILAN KAMPUS SEREMBAN