t>

Breaking News

Saya Tak Redha Maszlee Letak Jawatan Sehinggalah Puncanya Dinyatakan Kepada Umum - Saiful Islam.

SOSMED | Pemecatan ataupun bahasa lunaknya, dinasihati berhenti Maszlee Malik dari Menteri Pendidikan masih lagi diperkatakan netizens sehingga ke hari ini.





Setakat ini kita belum ada jawapan yang pasti kenapa Maszlee diarahkan berhenti tetapi ini adalah beberapa spekulasi yang tular di laman sosial;


1. Kontrak YTL tidak disambung
2. Isu kerjasama dengan Arab Saudi
3. Agenda kerajaan pintu belakang
4. Rombakan kabinet untuk membawa masuk Mukhriz
5. PRK Kimanis

Perletakkan jawatan Maszlee diterima PMO tanpa banyak ragam dan pujukan. Setakat ini tiada mana-mana menteri PPBM yang menzahirkan perasaan simpati kecuali dua tiga kerat pemimpin PKR, Amanah dan DAP.

Di sosial media pula, dua penulisan yang paling tular, tulisan Saiful Islam dan Madenile Berma sangat mendapat perhatian netizens.

Macam Saiful Islam, beliau tidak redha dengan pemecatan Maszlee selagi mana alasan pemecatan tidak dinyatakan secara terbuka.

Baca;

"Saya tidak dapat gambarkan bagaimanakah perasaan Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dengan berita perletakan jawatan Dr Maszlee ini. Kesungguhan beliau menjayakan amanah JKDPN ini mencapai kemuncaknya apabila beliau jatuh sakit lalu menyebabkan kami 12 ahli pasukannya terpaksa memutuskan hubungan dengan beliau demi memberi ruang aman sepenuhnya untuk beliau pulih. Semasa saya pulang ke Malaysia untuk serahan kerja pada 2 Mei 2019 lalu, saya kepingin bersalam dan memeluknya setelah 6 bulan bekerja dari jauh secara maya melalui Skype. Apakan daya... hanya doa mengiringi harapan sembuh buat beliau.

Amanah kepimpinan digalas oleh Dr Madeline Berma yang tanpa bertangguh sesaat terus memacu kerja dengan penuh kesungguhan. Belum pernah di dalam sejarah kemerdekaan negara, sistem pendidikan negara kita daripada peringkat pra sekolah hingga ke universiti, disemak secara ‘whole system reform’ dengan crowdsourcing feedback yang begitu menyeluruh.

Tugas kami 13 orang adalah kerja sukarelawan tanpa sebarang kepentingan, tiada pengaruh politik dan tidak sedikit pun bertujuan memuaskan hati menteri, atau kerajaan memerintah. Semuanya berorientasikan kepentingan anak-anak dan masa hadapan negara.

Saya sebagai satu-satunya anggota yang tinggal di luar negara, bermesyuarat berulang kali seawal jam 2 pagi waktu Finland yang adakalanya berlanjutan selama 7 ke 8 jam! Sampai demam dibuatnya! Berkali-kali.

Saya ditugaskan menyemak jurang budaya antara sistem di Malaysia dengan negara Nordic dan Scandinavia. Untuk menjadikan pandangan saya benar-benar organik, saya mengajar secara sukarela di empat sekolah Finnish di dalam Oulu dan di luar wilayah Northern Ostrobothnia untuk menemubual seramai mungkin guru dan murid Finnish. Duit sendiri juga dikeluarkan untuk membeli buku-buku kajian reformasi sistem, demi menjayakan hasrat Dr. Maszlee, KPM dan kabinet mereformasi pendidikan untuk 10, 20, 50 tahun akan datang!

Saya sebutkan ini bukanlah dengan nada mengungkit, tetapi ingin kongsikan bersama pembaca betapa besarnya semangat semua anggota JKDPN selama 6 bulan kami berkhidmat.

Salah satu komponen penting yang terkandung di dalam JKDPN itu adalah dasar pendidikan bebas politik! Ia salah satu kunci besar untuk memastikan pendidikan kita sihat, kemudian bertaraf dunia, melangkau usia perkhidmatan Dr Maszlee, kerajaan PH dan apa sahaja entiti kuasa legislatif negara.

Sebab itu, perletakan jawatan Dr Maszlee ini adalah sesuatu yang sangat besar buat... saya tidak tahu buat anggota JKDPN yang lain, sebab saya sudah tidak berhubung dengan mereka. Tetapi ia amat besar buat saya... yang hanya kerana iman di dada dan dasar memandang luas kehidupan, saya lunakkan perkataan semasa mengungkapnya.

Saya tiada ketaatan parti kepada mana-mana pemimpin, ahli politik, Tun M atau sesiapa. Jiwa saya hanya mahu memperjuangkan pendidikan kerana ia terjemahan pandangan alam dan nilai yang saya dukung dalam kehidupan. Sebab itu, walaupun saya menerima berita perletakan jawatan Dr Maszlee sebagaimananya ia, saya tidak redha dengan alasan ia nasihat Tun M, sehinggalah sebab sebenarnya diketahui semua. Bukan untuk saya, tetapi untuk rakyat, dan anak-anak Malaysia seluruhnya.

Jika tidak, jutaan kanak-kanak Malaysia akan melaknat ahli politik negara kita kerana tidak habis-habis mempertaruhkan masa hadapan mereka untuk agenda politik pelbagai pihak berkepentingan.

Dan sebab sebenar itu mungkin tidak akan diketahui sebagaimana nasib cadangan JKDPN juga entah apa khabarnya
," katanya dalam satu kenyataan pada jumaat.

Manakala, bagi Medaline, pemecatan Maszlee mungkin akan merencatkan usaha mereformasikan sistem pendidikan negara.
 

"Pendidikan - Agenda Yang Belum Selesai

Hari ini, 3hb Januari, 2020 maka secara rasminya YB Mazlee meletak jawatannya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

Pada tahun 2018, Yb Mazlee, selaku Menteri Pendidikan yang baharu telah melantik 13 orang untuk menjadi ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN). Saya telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi JKDPN.
 

Kami 13 orang adalah rakyat biasa, bukan dari kalangan pendidik, pegawai Kementerian apatah lagi ilmuan dan cerdik pandai dalam bidang pendidikan. Kami diberi amanah untuk mengkaji dasar serta memberi cadangan penambahbaikan sistem pendidikan yang sedia ada. Ada jurang yang perlu dirapatkan, dan kualiti yang perlu ditingkatkan.

Semasa kami menjalankan sindikasi dan mengubal Kajian Pendidikan Negara, kami telah menerima cadangan dari ribuan ibu bapa, pendidik, pemimpin masyRakat, NGO, pelajar, profesor, para diplomat, seniman, perajurit dari semua lapisan masyarakat.

Kami diberi penuh kebebasan untuk menjalankan Kajian. Tidak pernah sekalipun, YB Menteri dan pegawai Kementerian yang 'memberi arahan" (secara halus) kepada kami mengenai apa yang perlu dicadangkan dalam dasar. Dalam masa 6 bulan yang diperuntukan, kami menerima pandangan secara lebih 3,000 rakyat Malaysia (lihat foto metodologi)

kami 13 orang cukup bernasib baik kerana kesemua yang kami temui, mereka ingin meyumbang idea dan bakti untuk meningkatkan kualiti pendidikan demi untuk anak-cucu mereka.

Pada 2hb Mei, kami telah menyerahkan Cadangan Dasar Pendidikan Negara kepada YB Menteri.

Semasa upacara, penyerahan Laporan kepada YB menteri, saya memberi ucapan (dalam suara sebak penuh emosi) harapan kami, juga harapan ibu-bapa, terhadap cadangan dasar pendidikan negara...harapan untuk menjadikan kita masyarakat berilmu berlandas nilai murni.

Harapan ini dapat menjadi realiti. Ia memerlukan gandingan SETIAP rakyat Malaysia. Kekuatan sistem pendidikan bukan hanya terletak pada pendidik, pemimpin pendidikan dan Kementerian Pendidikan semata-mata. Kekuatan pendidikan anak2 kita, adalah tanggungjawab BERSAMA.

Saya berharap Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan yang telah diserahkan kepada YB Mazlee TIDAK terkubur atau disorok dan dibiarkan berdebu atas rak di bilik stor, dengan perlantikan Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu,"
katanya semalam.



Meskipun lebih dari 300,000 yang menandatanggani petisyen mendesak Maszlee dikembalikan ke jawatannya, Perdana Menteri belum memberikan apa-apa respon terhadapnya.


Spekulasi juga bertiup kencang bahawa Tok Pa akan dibawa masuk ke dalam kabinet Tun Mahathir bagi melengkapkan frasa rombakan kabinet yang sekian lama tertangguh. - 4 Januari 2019.