Ustaz Budak Didakwa, Mengaku Tak Bersalah Cabul Lelaki Di Hotel.
BERITA | Seorang ustaz yang juga pengurus madrasah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap lelaki di hotel, di sini, Rabu lalu.
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli dan tertuduh diwakili peguam, Siti Atikah Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang dikenali sebagai 'ustaz budak' didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun pada 1.15 pagi, 16 Disember di bilik hotel.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Atikah memohon jaminan minimum kerana tertuduh seorang pengusaha madrasah di Machang yang perlu menguruskan 150 pelajar.
"Pendapatan tertuduh hanya RM2,500-RM3,00 sahaja selain perlu menanggung ibu yang orang kelainan upaya (OKU) dan enam adik-adik dengan ada yang masih bersekolah," katanya.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari sebagai tarikh sebutan semua untuk serahan dokumen.
Jaminan berkenaan dibayar oleh ahli keluarga tertuduh. - 21 Disember 2020.