Zulkifli nordin : Anwar ibrahim pembohong besar.
PASIR MAS 11 Jun - Tiga Ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Datuk Zulkifli Noordin tampil buat pertama kali di atas satu pentas untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu semasa terutama membabitkan kemelut politik yang melanda masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
Ceramah perdana yang dianjurkan Pusat Khidmat Membela Rakyat (PKMR) Pasir Mas itu diadakan di dua tempat iaitu di Kampung Pohon Rawa dan Chetok di sini bagi memastikan rakyat di kawasan tersebut mendapat maklumat tepat dan benar daripada ketiga-tiga penceramah yang pernah bekerjasama dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, ceramah tersebut bermula agak lewat disebabkan hujan lebat sejak petang.
Ketiga-tiga mereka bersetuju masalah yang melanda masyarakat Melayu dan umat Islam hari ini sehingga menyebabkan perpecahan besar, berpunca daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.
Ibrahim Ali berkata, Pas perlu mengkaji kembali hubungannya dengan Anwar memandangkan pemimpin itu mempunyai terlalu banyak tuduhan, termasuk yang terbaru berkaitan video seks.
Secara menyindir, beliau berkata, walaupun pemimpin Pas mendakwa tidak menonton video itu tetapi mereka telah berani membuat 'fatwa' sendiri bagi mempertahankan Penasihat PKR itu.
Zulkifli pula yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, menyifatkan Anwar sebagai pembohong besar dan akan melakukan apa saja untuk mencapai cita-citanya itu.
"Keraguan saya terhadap Anwar bermula pada kes Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Sebagai peguam saya mengambil kes atas dua asas pertama iaitu saya percaya dia tidak melakukan dan kedua, saya mempunyai pembelaan yang kuat.
Kes liwat pertama dulu saya bersama peguam-peguam bela yang lain percaya kami mempunyai pembelaan yang kuat kerana ia berlaku terlalu lama sebelum dituduh.
"Tetapi bagi kes Saiful ia terlalu dekat, ditambah pula dengan sumpah laknat. Keraguan ini bertambah jelas dalam isu kalimah Allah. Anwar bersetuju kalimah Allah digunakan oleh orang kafir sebab mahu menarik undi orang bukan Islam. Bagi saya itu satu penghinaan yang jelas terhadap Islam," katanya ketika menyampaikan ceramah tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain berkata, Anwar sanggup mempertahankan sahabat-sahabatnya daripada DAP biarpun tindakan mereka menindas masyarakat Melayu dan Islam.
"Saya dipecat kerana mempertikai kerja-kerja yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Apabila saya beritahu Anwar tentang kerja-kerja DAP yang menindas orang Melayu dan Islam, saya pula yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bagi dia, DAP amat penting dalam menarik sokongan bukan Islam.
"Anwar memang luar biasa, kalau orang macam saya saja kena tipu tidak apa. Tetapi Presiden Amerika dan Presiden Turki pun kena kelentong dengan dia. Dengan kita dia cakap lain, depan orang lain dia cakap lain. Contoh paling mudah, 16 September, sampai hari ini tidak ada apa," katanya. -utusan-
Kat atas neh ialah ceramah yang dikatakan oleh artikel di atas. Tak pasti samada gambar di ambil sebelum, selepas ataupun ketika sesi berceramah sedang berlangsung. Untuk lebih banyak gambar boleh lihat disini. Kebetulannya umno online, utusan dan tv3 tiada butiran video dan gambar ketika ceramah sedang berlangsung. Mungkin faktor ceramah diadakan di tempat jauh kot mereka tak dapat nak buat coverage.
Tiada ulasan
Catat Ulasan