t>

Breaking News

AMARAN POLIS : JANGAN BAWA SENJATA SEPANJANG PILIHAN RAYA UMUM BERLANGSUNG !

 

Polis memberi peringatan kepada mana-mana penyokong parti politik supaya tidak membawa sebarang senjata termasuk semasa ceramah dan mengiringi calon sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf , berkata sekiranya terdapat individu atau kumpulan yang membawa sebarang jenis senjata, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Senjata itu akan dirampas dan tindakan undang-undang akan dikenakan pada mereka berdasarkan jenis senjata yang dibawa serta kesalahan yang dilakukan," katanya pada taklimat PRU13 kepada media di Bukit Aman di sini hari
ini.

Beliau berkata peperangan politik bukannya dengan menggunakan senjata tetapi sepatutnya menerusi strategi minda oleh calon-calon yang bertanding.

Dalam pada itu, katanya polis menerima satu lagi laporan mengenai pembakaran markas sebuah parti politik di Hulu Langat, Selangor semalam.

"Kegiatan membakar itu merupakan perbuatan yang tidak hormat dan bermoral. Kami sedang siasat," katanya.

Ramli juga menasihati penyokong parti politik supaya tidak menghalang dan mencederakan wakil media semasa mereka membuat liputan pilihan raya umum.


Menurutnya bagi tempoh semalam sahaja, polis menerima 93 laporan melibatkan isu-isu berkaitan pilihan raya di seluruh negara, yang menjadikan jumlah 724 kes sejak Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April.

Beliau berkata sebanyak 19 tangkapan dibuat dan mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan. - BERNAMA