t>

Breaking News

Duta Vatican Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia.


Biskop Joseph Marino hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan kenyataannya berkaitan isu Allah hingga menimbulkan rasa tidak senang rakyat Malaysia.
Permohonan maaf itu dinyatakannya kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Duta Vatican City ke Malaysia itu menyatakan beliau tidak pernah berniat untuk campur tangan dalam urusan dalaman di Malaysia.
Biskop itu berkata demikian selepas dipanggil ke Wisma Putra petang ini.
Sebelum pertemuan hari ini Anifah membuat kenyataan keras kerana Biskop Marino dikatakan campur tangan dalam kontroversi “Allah” yang merupakan urusan dalaman Malaysia.

Dalam temu bual media pertamanya di Malaysia Khamis lalu, Joseph berkata beliau mendapati perbalahan penggunaan kaliman `Allah’ berlarutan sejak lima tahun lalu sebagai sesuatu yang unik bagi negara Asia Tenggara.
Ini kerana, katanya,  ia digunakan secara meluas dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa yang digunakan oleh kaum Bumiputera Malaysia beragama Kristian.

Walaupun mengakui kes mahkamah  mengenai penggunaan kalimah 'Allah' itu sedang berlangsung dan dianggap urusan dalaman,, Josph menyokong hujah Persekutuan Kristian Malaysia berhubung penggunaan kalimah itu sebagai "agak logik dan boleh diterima."

Awal hari ini, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin senada dengan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu supaya Joseph dihalau dari Malaysia.

Beliau menuduh wakil Vatican itu mencampuri urusan negara manakala Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut menyelar Marino, kedua-duanya senada dengan Anifah berhubung isu itu.

Kumpulan pendesak Melayu, Jalur Tiga (Jati) dan Perkasa memberi amaran supaya berhenti membuat provokasi terhadap orang Islam dengan mengeluarkan kenyataan mengenai hak orang Kristian untuk memanggil Tuhan mereka `Allah'.

Datuk Hasan Ali dan Datuk Ibrahim Ali yang mengetuai kedua-dua kumpulan itu mendesak Joseph menarik balik kenyataannya yang menyentuh kontroversi penggunaan kalimah `Allah' dan dengan tegas menyatakan masyarakat Islam di Malaysia tidak akan membiarkan bukan Islam menceroboh urusan agama mereka.

Mereka berkata, satu memorandum yang mengandungi rasa tidak puas hati terhadap duta itu adalah sebagai amaran terakhir supaya tidak mencampuri urusan Islam di Malaysia. – 16 Julai, 2013.