t>

Breaking News

Mahasiswa UITM Sound Dr Sahol Hamid !!!

Jawabla.


Jika Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar  rasa apa yang dibentangkan kat bawah neh ialah satu penipuan, fitnah ataupun rekaan citer yang amat dasyat, jawabla. Mahasiswa UITM ini mencabar anda secara terang-terangan dan terbuka.

Jawab la.

Baca ;

Perkara 152, Perlembagaan Malaysia secara jelas telah memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Bagaimanapun, Perkara 152 juga menjamin bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan termaktubnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) bahawa Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan sejak negara mencapai kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia tidak mengira apa bangsa perlu memperjuangkan penggunaan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan di negara ini.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut menegaskan supaya orang Melayu perlu mempertahankan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walaupun ada pihak yang cuba mempertikaikan peranan tersebut.
Kedua-dua kenyataan beliau ini tidak lain dan tidak bukan hanya bersifat kosmetik (boleh dibaca sebagai munafik) sahaja. Kenyataan ini dibuat dalam konteks beliau mempertahankan UiTM hanya untuk orang Melayu dan Bumiputera sahaja sebagai menjawab kepada isu yang dibangkitkan Dyana Sofya Mohd Daud sebelum ini.
Tujuan beliau pastinya adalah untuk menaikkan semangat orang Melayu untuk mempertahankan kedudukan UiTM sambil bermain wayang kulit kononnya UiTM juga memperkasa Bahasa Melayu. Realitinya, perkara ini bukan sahaja kosmetik dan juga munafik, tetapi juga retorik.
Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar selaku Naib Canselor UiTM sendiri mengilham dan mencetuskan slogan dan program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’. Daripada slogan ini, terbukti bahawa entiti yang sepatutnya mendaulatkan dan memperkasa Bahasa Melayu itu sendiri menghina Bahasa Melayu.
Perkataan ‘Destini’ tidak wujud dalam kamus Bahasa Melayu. Mustahil manusia yang membawa gelaran Tan Sri dan profesor (takrifannya adalah pengajar yg tertinggi tarafnya di universiti; mahaguru) serta berjawatan sebagai Naib Canselor kepada sebuah universiti untuk orang Melayu sendiri, tidak tahu mengenai ketidakwujudan perkataan ‘Destini’ dalam Bahasa Melayu.
Slogan tersebut adalah bukti bahawa beliau selaku pencetus kepada slogan ini juga berdosa kepada Bahasa Melayu bukan hanya kerana dengan sewenang-wenangnya mencipta satu perkataan baru, tetapi juga kerana telah merojakkan Bahasa Melayu.
Dengan ini, UiTM sebenarnya melanggar dan tidak mematuhi Pekeliling Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau selaku Ketua di UiTM secara jelas melanggar pekeliling tersebut di bawah peruntukan 10 iaitu :-
Ketua Jabatan juga bertanggungjawab menjalankan kawalan dan pengawasan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul serta meluas di Agensi masing-masing. Tanggungjawab ini adalah selaras dengan matlamat untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.
Semoga pihak JPA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini.
Selain daripada slogan tersebut, Mesyuarat Senat UiTM juga sebelum ini mempersetujui dan meluluskan supaya penyediaan soalan peperiksaan dan menjawab soalan hendaklah menggunakan Bahasa Inggeris.
Saya selaku graduan UiTM untuk Diploma dan Ijazah Sarjana Muda boleh mengesahkan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris bukan sahaja di dalam peperiksaan, tetapi medium pengajaran, tugasan dan pembentangan juga adalah dalam Bahasa Inggeris. Persoalannya di sini, adakah ini bukti UiTM mendaulatkan, memperkasa dan mempertahankan Bahasa Melayu?
Jelas, UiTM di bawah pimpinan Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar lebih berminat untuk berpolitik dengan kenyataan yang penuh kosmetik, munafik dan retorik. Saya membuka ruang dan peluang kepada Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar untuk menjawab perkara ini.