Persatuan Perubatan Malaysia Puji Langkah Kerajaan Naikkan Harga Gula.
Langkah kerajaan menarik semula subsidi gula sebanyak 34 sen dalam Bajet 2014 hari ini mendapat pujian Persatuan Perubatan Malaysia. Presidennya, Datuk Dr N. K. S. Tharmaseelan berkata Malaysia mempunyai pesakit diabetik tertinggi di dunia berdasarkan populasi keseluruhan.
"Setengah orang kata ia akan merugikan daripada segi politik, tapi sebenarnya pada masa depan ia akan mendapat pujian rakyat," katanya kepada The Malaysian Insider. Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan Bajet 2014 hari ini berkata 2.6 juta rakyat Malaysia di bawah umur 30 tahun adalah pesakit diabetis.
Oleh sedemikian, Najib berkata, subsidi 34 sen sekilogram bagi gula akan dimansuhkan mulai esok, sekaligus menaikkan harga gula kepada RM2.84 sekilogram.
Namun, pengamal perubatan yang menguruskan sebuah klinik swasta di Banting menolak hujah tersebut. Dr P. Ramesh berkata ia adalah tidak benar apabila menggunakan alasan peningkatan diabetik semata-mata sebagai punca peningkatan harga gula tersebut.
Menurut beliau, langkah tersebut tidak akan mengurangkan rakyat Malaysia mengidap diabetik, memandangkan penyakit tersebut juga berpunca daripada pengambilan karbohidrat yang tinggi, seperti terkandung dalam nasi dan daging.
"Ramai rakyat Malaysia menghidap obesiti bukan kerana mereka mengambil gula, tetapi berpunca daripada pengambilan makanan dan minuman.
"Masalah sebenar adalah ramai tidak mengamalkan senaman secara konsisten," kata Dr Ramesh.
"Jadi ia adalah satu alasan yang sangat menjengkelkan," katanya. - 26 Oktober, 2013.