t>

Breaking News

Luahan Ibu Bapa 1,174 Juruterbang Berlesen Yang Menganggur.

Nampaknya angkara ketidaktelusan oleh pihak kerajaan telah menyusahkan pihak lain. Menjadikan bidang pendidikan sebagai sektor perniagaan. Ini memang kepakaran kerajaan kita.

Sedih juga baca luahan sang bapa mengenai hal ini. Betul juga kata dia. Nak bayar pinjaman lagi. Tak bayar hutang kang bising nama kena blacklist apa seme. Tapi kerja yang ditawarkan dalam sektor ini amatlah sedikit. Namun dalam masa yang sama mereka berterus-terusan membuka pengambilan baru. Almaklumla, RM220K sekepala. Mana tak masyuk masing2. Pelajar2 yang berhutang plak akan bayar lebih dari rm220k apa ada hal? Tak bayar blacklist sudah la.

Percayalah cakap aku. Mesti dorang akan bagi cadangan suruh sambung belajar dan amek jurusan lain pula. Suruh sambung hutang dan hutang.

Tak caya korang tunggu dan lihat.

Baca bawah ;



KAMI ibu bapa kepada graduan juruterbang komersial persendirian yang masih menganggur pada ketika ini, ingin membuat sedikit teguran kepada pihak yang berkenaan mengenai punca permasalahan ini.

Kami juga ingin mencadangkan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan mereka.

Masyarakat sudah jelas mengenai betapa kroniknya tahap pengangguran juruterbang pada ketika ini. Hampir setiap minggu ada sahaja berita atau artikel mengenai juruterbang menganggur. Tetapi bagaimanakah permasalahan ini berpunca?

Ini adalah kerana munculnya lambakan sekolah penerbangan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Sejak tahun 2005, sekolah penerbangan berkenaan telah menghasilkan ribuan juruterbang muda yang telah melebihi permintaan syarikat penerbangan.

Ini berlaku kerana akademi latihan penerbangan ini merupakan sebuah perniagaan yang cukup lumayan apabila setiap seorang pelajar dikenakan yuran melebihi RM220,000 seorang. Anak muda berpendidikan pula berpusu-pusu menyertai walaupun yuran tersebut tersangat mahal.

Walaupun begitu, pihak yang menubuhkan sekolah penerbangan tersebut tidaklah boleh dipersalahkan begitu sahaja. Ini kerana pihak yang sebenarnya memantau pertumbuhan sekolah penerbangan adalah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Sesebuah sekolah penerbangan tidak boleh dibuka begitu sahaja tanpa kelulusan dan pemantauan teliti daripada DCA.

Jadi, yang menghairankan ialah bagaimana pihak DCA meluluskan begitu banyak pembukaan sekolah penerbangan tersebut sehingga wujud lambakan juruterbang yang menganggur?

Bukankah sepatutnya mereka membuat kajian dan pemantauan terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan? Di sini, DCA yang sepatutnya memainkan peranan penting untuk menyelesaikan permasalahan ini walaupun sudah agak terlewat.

Baru-baru ini, pihak DCA khabarnya telah mengarahkan setiap sekolah penerbangan menghentikan pengambilan kadet juruterbang buat sementara waktu bagi mengurangkan penghasilan graduan yang menganggur. Juga untuk memberi laluan kepada graduan juruterbang ini mendapat tempat di syarikat penerbangan dan sebagainya.

Tetapi sayangnya tindakan yang diambil oleh pihak DCA tidak begitu serius dan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini kerana menurut maklumat, terdapat sebuah sekolah penerbangan di Pantai Timur Semenanjung masih lagi mengambil kadet juruterbang baru pada awal Julai 2012 lepas.

Itu belum dikira lagi pelajar dari sebuah universiti yang mengambil jurusan sarjana kejuruteraan aeronautik (pilot profesional) juga akan menyertai sekolah penerbangan tersebut untuk menjadi juruterbang juga. Bayangkan hampir 1,000 lebih juruterbang sedang menganggur dan ini akan bertambah ramai.

Bukan itu sahaja. Sejak dahulu lagi, bilangan kadet juruterbang yang diambil oleh salah sebuah sekolah penerbangan sudah melebihi garis panduan yang ditetapkan oleh DCA, tetapi pihak DCA hanya pejam sebelah mata membenarkan perkara ini dilaksanakan.

Kini jumlah keseluruhan kadet yang masih meneruskan latihan di sekolah tersebut sudah melebihi 400 orang, jauh lebih banyak daripada yang ditetapkan oleh DCA iaitu 200 orang pada satu-satu masa. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?

Mengenai peluang pekerjaan di syarikat penerbangan tempatan pula, diharapkan DCA juga memainkan peranan untuk mencadangkan supaya syarikat tersebut mengambil juruterbang persendirian selain daripada mengambil kadet sendiri.

Pihak syarikat penerbangan AirAsia sudah memaklumkan bahawa mereka akan terus menghantar sekurang-kurangnya lima kumpulan kadet mereka untuk dilatih oleh sekolah penerbangan, dan hanya akan mengambil sedikit sahaja daripada juruterbang persendirian.

Yang lebih mengejutkan syarikat penerbangan kebangsaan, Penerbangan Malaysia (MAS) tidak mengambil walau seorang pun juruterbang persendirian. Sekiranya amalan ini berterusan, bagaimanakah krisis pengangguran juruterbang muda di negara ini dapat dikurangkan?

Sewajarnya kita perlu memberi pertimbangan kerana kebanyakan mereka bukan sahaja menjalani kursus melalui pinjaman Mara malah ada juga yang meminjam dengan pihak bank. Sekiranya mereka menganggur, bagaimanakah mereka ini ingin membayar kembali pinjaman tersebut? Kepakaran mereka ini tidak boleh digunakan untuk sektor lain.

Anak muda berkelayakan ini dalam keadaan tertekan sekarang kerana mereka tidak punya banyak pilihan untuk menceburi bidang kerjaya lain. Lulusan universiti atau kolej lainnya boleh mencari alternatif untuk membina kerjaya tetapi bagi mereka hanya lesen juruterbang sahajalah yang dimiliki.

Adalah amat malang tenaga mahir ini dibazirkan dan ini juga secara tidak langsung telah membazirkan sumber tenaga negara.

Mohon jasa baik pihak yang berkuasa campur tangan bagi menyelamatkan tenaga muda berkemahiran tinggi ini daripada terus menjadi penganggur.

Ibu Bapa Prihatin
Puchong, Selangor