Karpal Singh Meninggal Dunia - Maut Dalam Kemalangan.
Kemalangan pada 2005. Selamat tetapi lumpuh.
Kemalangan pada 2014. Menyebabkan kematian.
Semoga selamat mengadap tuhan kita semua, tuhan sekalian alam. Salam takziah untuk keluarga Karpal Singh dan keluarga pembantu peribadi Karpal Singh, Michael Cornandez yang juga maut kerana terlibat dalam kemalangan yang sama. Semoga tabah menghadapi situasi yang menyedihkan ini.
Baca ;
Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara di Kampar awal pagi ini. Pembantu peribadi beliau, Michael Cornandez turut maut dalam kemalangan itu yang membabitkan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka dengan sebuah lori dalam perjalanan menuju utara berhampiran Gua Tempurung.
Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta itu dilaporkan cedera. Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kenderaan yang dinaiki Karpal rosak teruk. Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat. Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.
Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978. Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'. Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan. Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter. "Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulis twit tersebut.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata Karpal dan Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.
Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki Karpal, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.
"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.
Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya. -MK-