t>

Breaking News

Ini Jawapan Blogger UMNO - Sila Tunjukkan Bukti Bloggers UMNO YG Mengkritik UMNO, Berbayar Wahai Najib.

 
Mungkin Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah apabila beliau tersinggung dengan blogger-blogger sehingga mengeluarkan perkataan “bangang” yang dikira amat kesat. 

Saya diberitahu ketika beliau mengeluarkan perkataan itu kepada blogger-blogger, beliau percaya yang mereka ini adalah kumpulan yang menerima dana dari Umno dan pejabatnya untuk menjalankan tugas mempertahankan kedudukan parti serta dirinya sebagai Perdana Menteri.

Memang beliau patut marah jika blogger-blogger yang menerima imbuhan dari Umno dan pejabatnya bertindak mengutuk dan memperlekehkan Umno.

Tetapi kemarahan Najib hanya bertempat jika benar yang mengkritik Umno dan Perdana Menteri benar-benar menerima imbuhan tersebut.

Tetapi apabila diselidik, didapati blogger-blogger “bangang” yang menimbulkan keresahan Najib bukanlah mereka yang menerima dana atau imbuhan samada dari Umno ataupun pejabat Najib.

Persoalannya bagaimana Najib boleh membuat kesimpulan yang blogger-blogger ini terdiri dari mereka yang mencari makan dengan Umno/Perdana Menteri?

Kekusutan ini amat mudah dirungkai dan tidak memerlukan kecerdikan luar biasa, malahan orang yang bangang pun mungkin berupaya mencari jawapannya.

Isu pertama – siapakah blogger-blogger yang menerima imbuhan dan dana dari Umno/Perdana Menteri untuk melakukan tugasan?

Sudah pasti ada pegawai-pegawai Najib yang ditugaskan untuk melaksanakan tanggungjawab menyalurkan bantuan atau tersebut.

Pastinya, pegawai-pegawai ini mempunyai satu senarai siapakah blogger-blogger yang menerima bayaran/imbuhan/dana itu.

Jika ini telah dapat dipastikan, apa yang perlu dilakukan ialah melakukan “cross-check” atau semakan antara senarai blogger-blogger yang menerima dana dan blogger-blogger yang mengkritik Umno, Perdana Menteri serta isteri tercinta beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Jika blogger-blogger yang mengkritik tersenarai sebagai penerima imbuhan, maka perlu didedahkan nama-nama mereka kepada umum supaya perkataan bangang itu tidak terpalit kepada semua.

Keduanya, jika blogger-blogger yang mengkritik tidak tersenarai sebagai penerima imbuhan, maka Najib harus menarik balik kenyataan bangangnya itu kerana kalau tidak, blogger-blogger yang menyokong Umno akan sentiasa di hina dengan panggilan bangang oleh musuh.

Tetapi yang perlu Datuk Najib beri perhatian ialah nama blogger-blogger yang disenarai sebagai penerima imbuhan tetapi amat tegar mengkritik.

Jika Najib bersifat gentleman, beliau harus memanggil blogger-blogger ini dan tanyakan kenapa mereka mengkritiknya sedangkan mereka dibayar upah bulanan untuk mempertahankan apa saja tindakan beliau.

Disini mungkin Najib akan terkedu apabila mendapati blogger-blogger yang tersenarai sebagai penerima dana dan imbuhan akan menyatakan mereka tidak pernah menerima sesen pun dari dana tersebut dan mereka juga tidak mahu apa-apa imbuhan.

Dalam lain perkataan, mereka adalah blogger-blogger yang menulis mengikut “conscience” ataupun atas rasa kesedaran.

Saya pasti sumbangan kerajaan atau Pejabat Perdana Menteri kepada badan bukan kerajaan/persatuan bloggers tidak boleh dikategorikan sebagai upah, sogokan atau ‘cari makan’ yang disebut Najib tempohari.

Pegawai-pegawai Najib yang menyediakan senarai blogger-blogger sebenarnya tidak pernah dihampiri untuk mendapatkan dana atau imbuhan.

Pegawai-pegawai ini hanya menyediakan senarai dan menyertakan blogger-blogger yang tulisan blog, facebook dan/atau tampalan Twitter mereka menyokong kerajaan, Umno dan Barisan Nasional serta menghentam pembangkang.

Memang benar blogger-blogger yang mengkritik Umno dan Najib kebelakangan ini kebanyakannya penyokong tegar BN sebelum dan semasa pilihanraya ke 13 tahun lalu.

Malangnya kerana kelemahan dan ketidak upayaan Najib selepas PRU13, mereka bertindak mengkritik.

Harapan mereka ialah agar Najib, selaku pengerusi Barisan Nasional dan presiden Umno, akan sedar yang beliau telah silap langkah kerana terlalu bergantung kepada “advisor”, konsultan, branding konsultant dan pelbagai macam penasihat yang rata-rata mempunyai kepentingan diri.

Kontroversi yang menjelma selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta flip-flop berhubung Akta Hasutan adalah bukti nyata kegagalan Najib serta kualiti penasihat-penasihat beliau.

Belum lagi disentuh malapetaka yang katanya bakal menimpa angkara kepincangan di 1MDB.

Najib perlu sedar, pegawai-pegawainya yang konon-nya bertanggungjawab menjaga/membela blogger lebih berminat memperlihatkan berapa ramai blogger yang bernaung dibawah mereka.

Lebih ramai lebih “impressive” atau menyerlah di mata Najib dan dengan itu jumlah dana dan imbuhan untuk diagihkan pastinya bertambah besar.

Malangnya jelas mereka ini tidak amanah.

Apa yang Najib perlu siasat ialah kemewahan yang terserlah dikalangan pegawainya yang bertanggungjawab.

Jika beliau tidak berkesempatan ataupun lemah hati untuk menangani pegawainya yang tidak amanah, serahkan tanggungjawab itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sudah pasti akan mereka dapati, cara hidup dan kemewahan pegawai Najib tersebut jauh melangkaui pendapatan mereka.

Satu siasatan menyeluruh adalah amat perlu, terutamanya jika Perdana Menteri sendiri benar-benar ingin mengetahui kedudukan yang sebenar dan mengelak daripada terus dibangangkan oleh pegawai sendiri. - APANAMA -