t>

Breaking News

50 Buah Kampung Orang Asli Di Ancam Kebuluran Selepas Sebulan Banjir - Apa Tindakan Menteri Soal PSM.

Gambar sekadar hiasan
Kenyataan Akhbar PSM : 27 Januari 2015 - 50 Kampung Orang Asli di Gua Musang diancam kelaparan !

Sebulan selepas banjir, masih tiada akses jalan !
Apa tindakan Menteri ?
PSM menyeru pada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk turun padang ke Gua Musang dan menggubal satu pendekatan yang berkesan untuk menyelamatkan 50 buah perkampungan Orang Asli yang sedang menghadapi kelaparan kerana jalan masuk ke kampung-kampung mereka terputus akibat banjir pada hujung bulan Disember lalu.
Wujudnya lebih kurang 90 perkampungan Orang Asli di kawasan pendalaman Gua Musang. Sebelum 1980, mereka menanam padi dan dapat bergantung pada hutan untuk binatang buruan, sayuran dan ikan. Tahap sara diri dalam makanan adalah tinggi pada takat itu. Tetapi dalam 40 tahun yang lalu, cara hidup mereka telah dimusnah oleh corak ‘pembangunan’ yang dianjurkan oleh kerajaan negeri .
Pembalakan dan penanaman kelapa sawit telah hancurkan ekonomi sara diri mereka. Sekarang mereka bergantung pada pasaran luar untuk mendapat makanan asas seperti beras, sayur dan ikan. Mereka bergantung pada jalan-jalan tanah yang dibina oleh syarikat balak dan syarikat ladang untuk keluar ke bandar untuk membeli makanan.
Hujan lebat pada 23hb Disember 2014 telah merosakkan sebahagian besar daripada jalan-jalan masuk ke kampung Orang Asli di pendalaman Gua Musang. Beberapa jambatan juga dihanyut oleh air banjir. Oleh itu pada masa ini lebih daripada 50 perkampungan Orang Asli di Gua Musang tidak dapat bekalan dari luar dan mereka kelaparan.
Langkah yang paling penting adalah untuk menyambung balik jalan masuk ke kampung-kampung terlibat. Tetapi walaupun satu bulan sudah lalu, kerja itu belum lagi dimulakan. JKR belum mengambil bahagian dalam kerja pemulihan ini. Pegawai kanan JAKOA di Gua Musang berkata beliau tidak ada jentolak ataupun peruntukan untuk kerja itu. Dia kata beliau difahamkan Ketua Pengarah JAKOA sedang berunding dengan pihak tentera untuk bantuan dalam membaiki jalan dan jambatan.
Sehingga akses ke luar tercapai, makanan dan bekalan asas lain harus dihantar dengan apa sahaja cara yang berkesan termasuk helicopter. Inilah langkah kedua yang harus dilaksanakan dengan segera. Beberapa NGO telah turun membantu tetapi skala bantuan yang diperlu untuk membawa bekalan makanan ke 50 kampung adalah jauh lebih besar daripada kemampuan NGO. United Sikhs telah membawa helicopter untuk menghantar bekalan makanan untuk dua hari, dan pihak Bar Council Malaysia juga telah menyewa helicopter untuk dua hari (kadar sewa adalah RM 40,000 se hari). Tetapi ini tidak mencukupi. Masih ada ramai orang dalam kampung-kampung yang tidak ada makanan.
Mengikut anggaran Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, lebih kurang 1200 keluarga mendiami 50 buah kampong ini. Ini bermakna lebih kurang 5000 orang miskin di pendalaman Gua Musang sengsara dalam kelaparan pada takat ini.
Situasi mereka adalah kritikal dan Menteri harus ambil berat dan campur tangan dengan segera.
Dikeluarkan oleh,
Dr Jeyakumar Devaraj
Ahli Parlimen Sungai Siput
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM
019-5616807