t>

Breaking News

Azmin Bersedia Menjadi Ketua Pembangkang Jika Dilantik.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, beliau bersedia melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab jika dilantik sebagai Ketua Pembangkang.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau bersyukur sekiranya beliau dipilih untuk menggantikan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara lima tahun.
“Alhamdulillah kalau dipilih dan saya akan buat kerja. Apa juga amanah yang diberi saya akan laksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu, beliau akan melihat keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat terlebih dahulu sama ada beliau bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Bukan soal saya mahu atau tidak tetapi kekuatan Pakatan Rakyat adalah kita melakukan perbincangan dan membuat keputusan atas muafakat serta konsensus. Jadi, kita tunggu mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang, Jumaat nanti,” katanya.
Jelas Menteri Besar Selangor itu, pakatan pembangkang mempunyai ramai pemimpin yang berupaya dan cekap untuk menjadi ketua, jadi mereka perlu berbincang terlebih dahulu siapa yang layak.
“Kemudian kita akan membuat pilihan berdasarkan keputusan konsensus kesemua ketua pakatan,” ujarnya. -MYMU-