t>

Breaking News

KPN Arah Polis Siber Siasat Rafizi, Zunar & Nga Kor Ming Kerana Mengkritik Sistem Kehakiman Negara.

 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengarahkan siasatan dilakukan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bawah Akta Hasutan 1948 kerana memburukkan sistem kehakiman negara.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitternya, Khalid menggesa Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) menyiasat sebuah tweet oleh Setiausaha Agung PKR itu, petang tadi.


Beberapa jam sebelum itu, beliau turut mengeluarkan arahan supaya Ahli Parlimen Taiping (DAP), Nga Kor Ming disiasat di bawah akta yang sama kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan di Twitter.


Pada waktu yang sama, kartunis politik, Zulkiflee Anwar Alhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, turut menjadi perhatian Khalid untuk disiasat kerana memuatnaik sebuah tweet yang juga berbaur hasutan.


Kesemua tuit yang disiasat itu dipercayai reaksi individu-individu tersebut berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, 67, telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, selepas membacakan keputusan selama hampir 2 jam itu. -Awani.