Rakyat Malaysia, Fahamilah, Kami Juga Ingin Tahu Apa Yang Berlaku Ke Atas #MH370 - Luahan Pegawai Kanan MAS
Datuk Najmuddin Abdullah. |
Hari ini, genap 333 hari sejak Malaysia dan dunia dikejutkan dengan insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dari radar sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Lebih 30 negara terlibat dalam misi pencarian, dan juga aset berteknologi tinggi yang memakan kos berbilion dolar sudah digunakan.
Masih tiada khabar berita tentang keberadaan pesawat Boeing 777-200ER itu dengan sejumlah 239 penumpang dan anak kapal yang turut ‘hilang’ bersamanya.
Berbilion penduduk dunia masih menanti jawapan. Dalam fikiran mereka yang terlampau taksub dengan tagihan maklumat, pelbagai teori telah muncul.
Tidak kurang juga khalayak yang masih menyalah dan memperlekehkan pihak yang terus berdiri teguh dan tabah bertahan di sebalik jenama Malaysia Airlines (MAS).
Apabila berlaku sesuatu insiden kemalangan sebesar pesawat MH370, sebenarnya ramai yang tidak memahami sepenuhnya bahawa tanggungjawab itu dibahagikan kepada beberapa pihak, kata Naib Presiden Kanan/Ketua Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah.
“Tanggungjawab MAS adalah terhadap waris. Sejak hari pertama, urusan yang berkaitan waris adalah di bahu kami,” ujar beliau yang menjelaskan tentang pembahagian tanggungjawab antara pihak kerajaan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan juga pihak MAS.
Berdepan waris mangsa
Menurut Najmuddin, cara MAS mengendalikan waris, terutamanya dari aspek pengurusan maklumat, adalah secara langsung.
“Setiap waris diberikan sekurang-kurangnya seorang caregiver (pegawai penjaga) yang bertindak sebagai perantara. Sejak hari-hari terawal insiden berlaku, mereka membantu waris dengan perkara-perkara mendesak.
“Ada waris yang hendak datang ke Kuala Lumpur, kita uruskan. Begitu juga sekiranya pihak polis memerlukan sesuatu maklumat daripada keluarga mangsa, caregiver (penjaga) akan membantu secara tidak langsung,” ujarnya.
Najmuddin memberitahu, sehingga kini jumlah caregiver yang terlibat adalah lebih 1,000 orang. Mereka itu walaupun bukan kakitangan MAS sepenuh masa, namun setia menjalankan khidmat mereka secara bergilir hingga ke hari ini.
“Sebagai contoh di China, MAS bukan sekadar menyediakan caregiver malah telah membuka Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga (FCSC).
“Di situ waris boleh datang berjumpa caregiver selain terdapat peguam dan pegawai sokongan kerajaan terutama pihak DCA untuk menyampaikan maklumat,” jelas beliau yang menambah pusat yang sama turut dibuka di Australia dan Indonesia.
Najmuddin memberitahu, selepas deklarasi yang baru-baru ini menetapkan status kehilangan MH370 sebagai satu kemalangan, pihak MAS telah membuka enam lagi mini FCSC di enam wilayah lain di China untuk waris yang menetap jauh dari Beijing.
Telefon tidak henti berdering
MAS juga telah membuka pusat komunikasi di Kuala Lumpur yang beroperasi untuk membuat panggilan telefon kepada semua waris. Maklumat turut disampaikan melalui saluran komunikasi lain seperti e-mel, SMS, Whatsapp dan lain-lain.
Menurut Najmuddin, pihak MAS memahami bahawa keperluan setiap waris adalah berbeza. Setiap caregiver yang hendak berhubung atau berjumpa dengan waris perlu mengetahui dahulu keperluan khusus keluarga tersebut kerana keutamaannya adalah untuk menghindari ketidakselesaan.
“Ada keluarga yang minta kami menghubungi mereka seminggu sekali. Ada yang minta dihubungi hanya apabila kami ada maklumat yang baharu.
“Kami menghormati permintaan itu dan kami akan ikut,” ujar beliau mengenai pasukan caregiver yang sentiasa siap sedia dengan maklumat semasa dan juga perincian kehendak keluarga setiap mangsa.
Tambah beliau, apabila krisis ini berlaku, pihak MAS turut memiliki sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan MAS dan juga tenaga kerja sokongan daripada jabatan lain.
“Sehingga kini, sudah lebih 2,000 orang terlibat. Bukan sekadar mengurus hal komunikasi malah banyak perkara lain.
Misalnya pada awal krisis, caregiver dan sukarelawan inilah yang menguruskan penginapan mereka di hotel. Yang tidak sihat, MAS aturkan juga untuk dibawa ke klinik.
“Semua ini tanggungjawab kami,” kata beliau meminta orang ramai membayangkan perincian khidmat kumpulan tersebut yang tidak banyak didedahkan kepada khalayak.
Sementara itu, di dalam bilik operasi media di Pusat Kecemasan KLIA, telefon tidak berhenti berdering 24 jam setiap hari sejak kejadian.
“Di bilik operasi itu, ada empat telefon khusus untuk dihubungi pihak media, manakala 16 lagi dikhaskan untuk dihubungi waris.
“Saya memerlukan antara 15 hingga 20 petugas sehari untuk menyambut panggilan tersebut. Itu tidak termasuk talian lain untuk berhubung dengan DCA dan pihak berkuasa,” ujar beliau.
MAS terus dipersalahkan
Apabila ditanya mengenai cemuhan yang diterima pihak MAS, bukan sahaja dari seluruh dunia malah lebih getir daripada rakyat Malaysia sendiri mengenai pengurusan maklumat dan persepsi, Najmuddin mengangguk tanda mengerti situasi tersebut.
Beliau yang ditemui di Astro AWANI dalam nada tenang memberitahu: “Sebenarnya, tidak ada satupun manusia yang berjumlah tujuh bilion di muka bumi ini yang pernah melalui krisis sebegini. Dalam dunia penerbangan moden, tidak pernah berlaku kehilangan pesawat dengan sedemikian ramai penumpang.”
Najmuddin mengakui terlalu banyak pihak mengatakan itu dan ini, semuanya tidak betul menurut mereka.
“Orang kata itu dan ini tidak betul. Namun, tiada siapapun yang benar-benar berpengalaman berdepan sesuatu yang besar dan misteri ini.
“Pihak yang mengendalikan kes ini belum berpengalaman, apatah lagi khalayak ramai,” ujar beliau yang mengakui satu-satunya kekurangan yang ketara dalam hal ini adalah ketiadaan maklumat.
Ujar Najmuddin, apabila semua pihak tiada maklumat, sebenarnya khalayak tidak tahu ‘siapa’ bertanggungjawab untuk ‘apa’.
Ada yang mengatakan bahawa MAS bertanggungjawab untuk mencari pesawat sedangkan sebenarnya tidak. Malah tuduhan mengenai keberkesanan misi terus dilemparkan kepada MAS.
“Sebagai contoh, dulu mengenai kehadiran bomoh (kelapa) di KLIA, orang ramai marah-marah dan bertanya kenapa MAS tidak menghalang individu tersebut. Sedangkan khalayak tidak memahami bahawa KLIA bukan milik MAS. Kami hanya berurusan dengan waris mangsa.
“Begitu juga dengan isu percanggahan maklumat. Ia terjadi apabila maklumat pihak A bercanggah dengan pihak B. Namun maklumat itu mewakili pihak masing-masing dan mereka tidak ada kaitan dengan pihak MAS.
“Hampir setiap masa, orang ramai hanya melihat MAS, jenama MAS. Baik atau buruk tetap pihak MAS yang mendapat tempias. Begitupun, kami memahami persepsi umum.
Menyumbat kekosongan
Najmuddin dan pasukannya tidak mahu lemah semangat. Bagi mereka, bagi menyahut cabaran mengenai persepsi, pihaknya perlu jelas tentang hasrat dan tanggungjawab mereka.
“Kami perlu terus mempunyai stamina yang kuat, bukan sahaja fizikal malah lebih pada mental.
Bayangkanlah, kami perlu menyampaikan maklumat yang sama setiap hari, dan sesetengah orang tidak mempunyai kesabaran.
“Kami akan terus dilemparkan cemuhan berkenaan, namun bukanlah dasar MAS untuk menghalakan sebarang tuduhan itu kepada pihak lain. Dasar MAS adalah untuk memberikan kefahaman kepada pihak yang tidak faham,” kata beliau.
Menyentuh aspek kelemahan mengenai kekurangan maklumat, Najmuddin walau bagaimanapun berkali-kali menekankan bahawa tiada pihak yang menyimpan maklumat kerana pihak MAS sendiri belum ada petunjuk tentang perkara yang berlaku.
“Yang menjadi masalah kita sebagai manusia adalah apabila tiada maklumat, ia meninggalkan suatu kekosongan. Apabila kekosongan itu hadir dalam hati dan akal fikiran, maka ia akan diisi dengan sesuatu yg lain,” ujarnya lagi.
Kata Najmuddin, dari situlah timbulnya teori-teori konspirasi itu dan ini yang disebar melalui pelbagai saluran media sosial.
“Malangnya, semua teori itu tidak disokong maklumat yang kukuh. Ia adalah propaganda yang direka dalam fikiran penciptanya dan mereka sendiri percaya pada apa yang direka.
“Kalau ada tujuh bilion penduduk dunia, mungkin setiap seorang ada teori sendiri. Ini bahaya kerana ia memberikan ketidakseimbangan ke atas penilaian waris mangsa,” jelas beliau.
Setakat ini, kata Najmuddin, cuma ada satu teori yang berdasarkan teknologi dan sains iaitu data satelit.
“Itu sahaja yang kita berpegang pada hari ini. Atas sebab itulah pasukan SAR mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi Selatan.
“Namun, jika suatu hari nanti ada seseorang tampil menyatakan yang sebaliknya, dan kenyataan itu disokong oleh sains dan teknologi, mungkin pihak berkuasa boleh mempertimbangkannya. Cuma setakat ini, tiada siapa memiliki integriti untuk berbuat demikian,” kata beliau.
"Kita semua ingin tahu"
Najmuddin mewakili pihak MAS ingin menyeru semua rakyat Malaysia agar sama-sama menghormati perasaan ahli keluarga dan waris mangsa nahas pesawat MH370.
“Ini adalah masa yang sukar bagi mereka. Sebahagian besar daripada khalayak tidak dapat membantu secara langsung kepada waris.
Beliau memohon, sekiranya orang ramai tidak dapat memberikan bantuan, janganlah pula tambahkan kedukaan waris-waris berkenaan.
Kadangkala kata-kata kenyataan yang dimuat naik di media sosial itu sangat menyayat hati para waris. Lebih baik berdiam jika tidak dapat berkata sesuatu yang baik.
“Saya ingin maklumkan, dalam krisis pesawat MH370, pihak MAS juga adalah mangsa. Ramai orang tidak mengingati bahawa MAS juga menjadi mangsa.
“Kami telah kehilangan 12 kakitangan bertugas termasuk seorang kakitangan sebagai penumpang. Itu keluarga kami. Kami juga kehilangan ratusan tetamu kami. Kami kehilangan pesawat kami.
“Saya faham semua orang ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Sebagaimana orang ramai ingin tahu, kami juga ingin tahu. Ahli keluarga mangsa ingin tahu. Pihak penyiasat ingin tahu. Pihak Boeing ingin tahu. Dunia ingin tahu.
“Kita harus terus mempunyai kesabaran dan kepercayaan dengan pihak yang tidak henti-henti serta bertungkus-lumus mencari jawapan kepada semua ini,” luah Najmuddin.
-Awani-