Pelajar Universiti Perlu Selalu Memasak, Jangan Makan Luar Untuk Elak GST Nasihat Ahmad Maslan.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hadir pada satu taklimat program cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang disifatkan tidak menjawab persoalan mereka mengenai pelaksanaan cukai tersebut.
Tetapi sebaliknya kata mereka, timbalan menteri kewangan itu seperti menghentam pihak pembangkang pada sesi soal jawab bersama pelajar UiTM Shah Alam itu.
Pelajar Fakulti English Professional dan Communications, Maziah Mazli, 21, berpendapat, Ahmad tidak menjawab soalan yang dibangkitkan dan memberi penjelasan sebenar mengenai GST.
“Kerajaan mesti terangkan dulu (pada pelajar). Dia tak jawab soalan. Dia macam ‘twist’ (putar belit). Kami sebagai pelajar, kami nak tau apa sebenarnya GST. Kami tak dapat gambaran jelas apa itu GST.
“Sejak pelaksanaan GST, terasa sangat kesannya, terutamanya top-up (kredit telefon bimbit) dan makan. Kerajaan macam tak ambil kira semua aspek. Kami tidak ada kemudahan untuk masak.
“Jadi, betul-betul bergantung kepada makanan yang disediakan universiti,” katanya yang mengulas saranan Ahmad kepada mereka supaya selalu memasak dan tidak makan di luar untuk mengelakkan GST. -TMI.