t>

Breaking News

Anak Panda Dihantar Pulang Kerana Kos Penjagaan & Sewa YG Mahal - Zoo Negara.


Anak panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, Nuan Nuan berkemungkinan besar akan dipulangkan ke China, Ogos tahun hadapan kerana Zoo Negara tidak mampu untuk membiayai kos penjagaannya yang tinggi.

Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Sr. Zaharin Md. Arif berkata, pihaknya perlu membayar kepada China seba­nyak AS$600,000 (RM2,414,116.03) dan memperuntukkan AS$150,000 (RM603,549.80) untuk insurans seekor panda, selain kos operasi penjagaannya menelan hampir RM200,000 sebulan.

Menurutnya, selepas usianya dua tahun, anak panda betina itu perlu diasingkan daripada ibu bapanya kerana dikhuatiri berlaku pergaduhan dan ini menyebabkan kos tambahan diperlukan. “Kita tiada tempat untuk anak panda dan perlu memikirkan gaji kakitangan, penyelenggaraan pendingin hawa yang perlu dipasang selama 24 jam dan makanan haiwan itu.

“Perbincangan dengan Persatuan Pemeliharaan Hidupan Liar China (CWCA) akan dilakukan November ini dan kami bercadang menjaga Nuan Nuan sehingga usianya dua tahun sahaja pada Ogos tahun hadapan walaupun kontrak membenarkannya sehingga empat tahun,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar maj­lis pelancaran setem tujuh ke­ajaiban flora dan fauna sempena sambutan hari lahir panda gergasi ke-10, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ber­kenan menyempurnakan gimik sambutan ulang tahun panda gergasi dan melawat sekitar kawasan Zoo Negara termasuk Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC). Majlis itu turut menyaksikan penganjur bersama, Pos Malaysia Berhad melancarkan tujuh koleksi setem keajaiban flora dan fauna, manakala Universiti Malaya menghasilkan laman pendidikan siber, membolehkan pengunjung mengimbas kod QR untuk me­ngetahui maklumat hidupan menerusi telefon pintar. -Utusan