t>

Breaking News

Saya Patut Berhenti Sebagai MB Namun Belum Ada Pengganti - Adnan Yaakob.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob membayangkan hasrat untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang. Beliau berkata, hasrat itu diluahkan atas dasar munasabah dengan pembabitan beliau dalam politik lebih 30 tahun. 

Bagaimanapun, katanya setakat ini beliau melihat belum ada calon yang sesuai untuk menggantikannya sebagai menteri besar buat masa ini. "Saya sudah lama berpolitik, kalau saya bersara pun patut," katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh 2016 di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Mohd Azam Ismail. Bagaimanapun Adnan berkata, beliau menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan parti dan akan meneruskan gerak kerja memperkasakan UMNO di Pahang dan seluruh negara. 

Beliau juga berharap situasi politik yang gemar 'menelanjangkan' pihak lawan terutamanya isu peribadi tidak diikuti oleh ahli UMNO. 

"Pada pandangan saya, kalau perkara ini (saling membuka aib lawan) tidak akan habis sampai bila-bila. "Namun terpulang kepada individu kalau ada pegangan agama, kita takkan lakukan perkara sebegini," katanya. - BHOnline