Malaysia Rumah Kedua Bangladesh, Saya Akan Luluskan Jika Anda Mohon Kata Nazri Aziz - Produk Pelancongan Terbaru Malaysia
Dalam usaha menggalakkan hubungan baik antara dua negara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan harapannya lebih ramai warga Bangladesh dari seluruh dunia menjadikan negara ini rumah kedua mereka.
Secara lebih khusus, dalam ucapannya sempena Sidang Kemuncak Bangladesh Global pertama di Kuala Lumpur malam tadi Nazri merujuk kenyataan itu kepada program Malaysia Rumah Keduaku yang terletak di bawah kementeriannya.
"Saya memberi jaminan kepada anda - sebagai menteri pelancongan - jika anda memohon untuk program ini, ia akan dirujuk terus kepada saya. Insya-Allah saya akan luluskan," katanya kepada peserta yang terdiri daripada anggota Persatuan Bangladesh Seluruh Eropah (AEBA).
Memetik beberapa persamaan budaya antara penganut Islam di negara ini dan Bangladesh, Nazri berakata, ramai orang Bangladesh mungkin akhirnya boleh menjadi rakyat Malaysia.
"Anda ada seorang duta yang sangat baik di sini. Jika beliau tinggal di sini lima tahun lagi, beiau boleh menjadi warga Malaysia," katanya merujuk kepada diplomat berkenaan, Md Shahidul Islam.
Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas memberitahu tidak ada perbezaan antara orang Malaysia dan Bangaldesh.
"Kita semua kelihatan sama. Malah anda boleh menemui orang Melayu yang lebih gelap daripada anda.... Jangan bimbang," katanya yang turut menyatakan Malaysia juga mengalu-alukan Muslim lain dari seluruh dunia.
Katanya kehadiran orang Bangladesh sangat penting kepada Malaysia kerana ia sejajar dengan perasaan bangga dengan ciri-ciri Asia.
Satu lagi sumbangan orang Bangladesh, kata Nazri, adalah sebagai tenaga buruh yang membangunkan ekonomi negara ini.
Pada masa sama Nazri juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia boleh melawat Bangladesh melalui pakej istimewa ditawarkan oleh pelbagai agensi pelancongan.
Antara lain katanya pakej yang menawarkan perjalanan mengerjakan umrah dengan persinggahan di Bangladesh, sama ada ketika pergi atau balik. - Malaysiakini