Menangis Keseorangan Di Asrama, Tahan Sakit Kerana Dibuli..
Oleh : Azliana Adnan
Sebak di dada membaca sedikit coretan diari arwah Thaqif. Apa yang dilalui Thaqif di sekolah asrama tersebut amat menyayat hati. Tiada seorang pelajar pun yang patut melalui apa yang dilalui oleh arwah.
Arwah bukan mangsa yang pertama. (Ini saya merujuk kepada kes-kes yang berlaku di Malaysia). Kakitangan sekolah/guru sekolah menggunakan kekerasan melampau apabila menghukum pelajar. Ini berlaku bukan hanya disekolah madrasah tapi di sekolah lain juga.
Budaya buli di kalangan pelajar sudah berlarutan sejak dahulu kala tapi semakin lama semakin parah. Pelajar junior dibuli pelajar senior. Di dera secara mental dan fizikal. Ditumbuk, ditendang sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Budak yang masih kecil terpaksa melalui semua ini. Menangis keseorangan di bilik asrama menahan kesakitan, menahan perasaan, tidak berani bersuara kerana takut 'dikenakan' lagi teruk.
Adakah perkara ini pertama kali berlaku di sekolah berasrama penuh? Jawab dengan jujur!
Apabila gejala buli berlaku, apakah tindakan yang diambil? Jika 'bernasib baik' mungkin pembuli diberi hukuman gantung sekolah 2 minggu. Bagaimana nasib mangsa buli? Terkesan seumur hidup dan mengalami kemurungan. Atau mungkin kitaran akan berlaku, mangsa nanti akan jadi pembuli/pemangsa.
Apabila mangsa bersuara mengenai guru yang menggunakan kekerasan yang melampau, ada yang akan berkata 'ala sikit sikit mengadu' atau 'aku kena lagi teruk dari itu sekarang dah berjaya'.
Apabila mangsa bersuara mengenai dibuli pelajar lain, ada yang akan kata 'memang patut dia diajar, kurang ajar dengan senior'.
Suara sumbang mendendangkan justifikasi kenapa mangsa itu patut diperlakukan sebegitu! Selagi ada suara sumbang begini, selagi itu perkara yang terjadi ke atas arwah Thaqif dan mangsa lain akan sentiasa berlaku.
Jujur pada diri sendiri, siapa yang patut bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar ketika di sekolah? Jangan salahkan mangsa jika mangsa saman sekolah kerana gagal memastikan keselamatan pelajar-pelajar! Ramai lagi mangsa buli yang masih tidak mendapat keadilan dan hidup dalam trauma akibat buli.
Bagaimana pula dengan pembuli? Terlepas begitu sahaja? Tidakkah pembuli harus didakwa di Mahkamah dan menerima hukuman setimpal?
Ambil iktibar dari apa yang sudah berlaku dengan arwah Thaqif. Biarkan ini menjadi kejadian yang terakhir.
Hentikan budaya buli!
Hentikan menguna kekerasan ketika menghukum pelajar!
Hentikan menguna kekerasan ketika menghukum pelajar!