t>

Breaking News

Kisah Pengajaran Rentetan Isu Pembunuh Pelajar Tahfiz Yang Positif Ganja.

Oleh : Root Of Science
KHAYAL: Kisah pengajaran rentetan isu pembunuh pelajar tahfiz yang positif ganja
Danial berumur 3 tahun. Anak bongsu daripada 3 orang adik beradik. Abangnya Amin berumur 7 tahun dan kakaknya Zahara berumur 5 tahun. Danial datang ke klinik hari ini sebab demam dan selesema. Mereka merupakan anak yatim piatu. Terima kasih kepada bahan kimia yang bernama ‘Tetrahydrocannabinol’.
Tetrahydrocannabinol merupakan salah satu bahan kimia di dalam ganja. Ia merupakan penyebab kepada rasa ‘stone’, ‘stim’ ataupun khayal kepada penggunanya. Kompaun inilah yang menjadi punca ketagihan ganja.
Ibubapa mereka merupakan pasangan secocok. Bercinta pada awal usia dan berkahwin pada usia muda. Azman seorang yang romantik manakala Siti seorang yang penyayang. Kedua-duanya bahagia di awal perkahwinan mereka.
Satu sahaja yang menjadi kebencian Siti pada Azman iaitu dia kuat merokok. Pelbagai nasihat yang diberikan kepada Azman, tetapi ia seperti bercakap dengan dinding. Tiada respon dan tidak lut. Seolah-olah ada tembok yang besar dihadapannya. Tembok itu wujud hanya bila bercerita tentang keburukkan rokok.
Bagi Azman pula, satu sedutan rokok adalah satu kenikmatan baginya. Mungkin inilah syurga dunia baginya. Ketika asap memasuki paru-parunya, kompaun ‘nikotin’ daripada asap meresap masuk ke dalam pembuluh darah. Bahan kimia ini dipam ke otak dan sampai ke bahagian yang memberikan rasa nikmat dan puas. Dopamine dilepaskan dengan banyaknya dibahagian tersebut menyebabkan perasaan puas memenuhi diri. Azman seolah-olah dibuai mimpi.
Azman tahu ketagihannya pada rokok adalah sesuatu yang tidak baik. Dia cuba menukarkan tabiat hisap rokoknya kepada pengambilan ganja. Katanya rokok adalah konspirasi yahudi untuk merosakkan umat islam. Ganja pula adalah herba ciptaan tuhan untuk mengubati semua jenis penyakit. Itulah yang dibaca oleh Azman di dalam blog-blog serta page facebook picisan yang tidak mengetahui asas perubatan.
Selain daripada itu, Azman juga mengatakan bahawa ganja tidak menyebabkan ketagihan berbanding daripada dadah kimia yang lain seperti aphetamine, morfin, heroin dan yang seangkatan dengannya. Ini disebabkan ganja adalah produk herba natural ciptaan tuhan. Itulah ilmu yang diajarkan dalam blog dan page rujukan dia. Dia lupa bahawa orang gila pun tidak mengaku yang diri sendiri gila. Inikan pula orang yang sudah ketagihan ganja.
Tahun demi tahun sikap Azman berubah. Azman tidak mampu menyelesaikan perkara yang mudah. Kiraan bajet makan minum keluarga pun semakin susah untuk dikira. Ini satu petanda ‘daya pemikiran kognitif’nya semakin merosot. Ia merupakan kesan jangka panjang seperti yang tertulis dalam buku teks perubatan.
Keinginan dirinya kepada ganja semakin meningkat siring dengan dos pengambilannya. Habis gaji dibuat untuk beli ganja. Kais pagi hisap ganja. Kais petang hisap ganja.
Sampailah suatu hari. Hari yang menjadi sejarah merah bagi keluarganya. Semerah warna darah yang akan mengalir hari tersebut. Azman sangat kemaruk menghisap ganja. Dia pergi meminta duit daripada isterinya untuk dibuat beli ganja. Tetapi isterinya Siti meningkah. Kata Siti duit itu untuk membeli makanan bagi anaknya buat sehari dua. Duitnya yang lain sudah dihabiskan oleh Azman untuk membeli ganja.
Azman cuba menidakkan keinginannya terhadap ganja. Malangnya otak Azman telah dirosakkan dengan kompaun yang bernama ‘Tetrahydrocannabinol’. Otak Azman sangat-sangat menagihkan kompoun tersebut dan memaksa Azman melakukan sesuatu untuk mendapatkannya
Daya kognitif Azman yang rendah berserta ketagihan yang kuat membuatkan seolah-olah Azman telah kehilangan akal. Dia tidak dapat membezakan yang baik mahupun yang buruk.
Ketagihan perlu dihilangkan dengan menghisap ganja
Daya kognitif Azman pula tidak tahu berfikir dengan cara yang betul untuk menyelesaikan masalah tersebut. Lalu otak Azman memberi signal penyelesaian yang dangkal iaitu dengan mencederakan isterinya. Pisau diambil di dapur.
Siti pula sedang mententeramkan anak-anaknya yang sedang ketakutan. Azman datang menerpa dengan pantas lalu menusuk berkali-kali perut isterinya tanpa belas kasihan. Ternyata ganja merosakkan daya pemikiran kognitif Azman sehingga rasa belas kasihan hilang dalam dirinya.
Amin, Zahara dan Danial menyaksikan tusukan demi tusukan yang dibuat oleh bapanya sendiri. Bersama pancutan darah yang memancut daripada perut ibunya. Mereka mendengar raungan ibunya yang sedang mengerang kesakitan. Mereka juga merintih bersama-sama sehingga ibunya pergi meninggalkan dunia.
Hari ini Danial berumur 3 tahun. Mempunyai seorang abang iaitu Amin yang berumur 7 tahun dan kakak iaitu Zahara yang berumur 5 tahun. Dia datang ke klinik hari ini sebab demam dan selesema. Dibawa oleh neneknya yang sudah tua.
Neneknya kata dia demam mungkin sebab rindukan ibunya.
***Peristiwa ini berlaku beberapa tahun lepas. Ia diceritakan oleh nenek Danial. Ayahnya pula telah dikenakan hukuman gantung atas jenayah yg dilakukan
Ramai yang terpengaruh mengatakan hisap ganja adalah sesuatu yang tidak berbahaya. Bagi saya rosaknya bangsa adalah apabila tidak berilmu dan tidak mempunyai asas ilmu yang kuat. Dahulu negara kita tidak langsung mengetahui bahawa hisap rokok adalah berbahaya sehingga menjadikan majoriti daripada lelaki di negara ini sebagai penghisap rokok.
Takkanlah nak kita biarkan lagi sekali negara ini dipenuhi pula dengan mereka yang menghisap ganja. Banyak kajian yang telah dibuat menunjukkan kaitan ganja dan juga pembunuhan:
1. Kajian Spunt B et al(1994) menemukan majoriti daripada 268 orang yang ditahan dalam penjara di New York ada pernah menghisap marijuana. Sebanyak 1/3 daripada mereka ada menghisap ganja dalam waktu 24jam sebelum pembunuhan dilakukan.
2. Kajian Friedman AS er al(2001) pula menemukan Marijuana adalah satu dadah setelah alkohol yang boleh menyebabkan serangan menggunakan senjata dan juga mempunyai kaitan dengan pembunuhan
Saya ceritakan ini untuk membezakan kegunaan ganja seharian berbanding dengan perubatan. Dalam perubatan, kegunaan ganja terutamanya kompaun cannabidiol masih banyak dalam proses kajian dan ujian lagi.
Oleh itu, adakah anda nak hisap ganja ataupun perubatan ganja. Jika nak perubatan ganja, kajian dan kegunaannya memang sedang dikaji dan dalam waktu beberapa tahun lagi akan digunakan. Tetapi jika anda nak suka-suka hisap ganja, kami ucapkan selamat merosakkan akal dan juga badan yang telah dikurniakan oleh tuhan.
Rujukan:
1. Spunt B, Goldstein P, Brownstein H, Fendrich M.The role of marijuana in homicide. Int J Addict. 1994 Jan;29(2):195-213.
1. Friedman AS, Glassman K, Terras BA.Violent behavior as related to use of marijuana and other drugs.J Addict Dis. 2001;20(1):49-72.