t>

Breaking News

Kasihanilah Budak-Budak Ini Encik, Lagi 10 Minit Ada Peperiksaan..

Oleh : Arif Atan
Bapak Pengangkutan Awam terlepas pandang?
7.30 pagi. Loceng di kuil seberang jalan sudah berbunyi. Masing-masing gelisah sebabnya waktu begini mereka patut sudah berada di sekolah.
Bas awam SJ yang dinanti sejak sebelum matahari terbit tidak kunjung tiba. Padahal sudah dua buah bas dari Rawang ke Bukit Sentosa/Bukit Beruntung/TamanBunga Raya sudah lalu.
Gambar - Arif Atan
Pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 Sekolah Menengah Sungai Choh (SMSC) dari sekitar Kampung Koskan di persimpangan Sungai Buaya ini sudah nampak letih menunggu.
Wang kertas seringgit yang dipegang mula dilipat gulung tanda bosan sudah tidak mampu dibendung. Kereta Kancil juga Myvi dan motor kapcai sebahagian besarnya pekerja Perodua bertali arus mengejar masa.
Kalau mahu tumpangkan murid-murid itu pun mungkin bagi mereka tidak berbaloi sebab sekolah mereka kira-kira 5 kilometer jauh ke depan lagi.
Sekumpulan murid perempuan Melayu sudah mula bercakap mahu pulang saja ke rumah. Tapi seorang daripadanya cuba memujuk.
"Tunggulah jap. Nanti balik rumah, mak aku marahlah," katanya yang dengan di tangannya memegang sebuah novel tebal.
"Kita periksa 'kan dah habis," balas kawannya sambil menarik-menarik tangan kawan yang enggan pulang ke rumah tadi.
Ya. Mereka baru saja selesai menduduki PT3 yang dulu dikenali PMR dan lebih dulu lagi SRP.
Sementara itu, seorang pemuda yang mulanya sama menanti bas mahu turun di Komuter KTM Rawang akhirnya terpaksa menukar keputusan menaiki teksi saja.
Hajatnya mahu menumpangkan tiga murid dengan dua daripadanya bernama Aniq dan Adib. Mereka ada peperiksaan pukul 8.30 pagi.
Namun, sekali lagi, menunggu teksi tiba pun agak payah di Parlimen Hulu Selangor dikuasai Kamalanathan dari BN di negeri yang diuar-uarkan paling maju di Malaysia dan Menteri Besarnya pula berbangga rizab berbilion ringgit sampai tak tahu nak buat apa!
Lantas, tiada pilihan lain, pemuda itu menahan teksi berlogokan TEKS1M yang kadar tambangnya lebih mahal daripada teksi merah putih. Sebab itu saja yang tiba.
"Sekepala RM5," ringkas kata pemandu botak itu sekali gus enggan menggunakan meter sebaik pemuda itu memberitahu mahu ke KTM Rawang.
Pemuda itu merayu jika tiga murid sekolah di situ boleh ditumpang dan diturunkan di SMSC tanpa dikenakan bayaran.
Tujuh saat juga pemandu botak berusia sekitar 50 tahun itu terdiam sejenak sambil menoleh ke belakang melihat sekumpulan murid Melayu dan India yang masing-masing sugul itu.
"Kasihanlah budak-budak ni, Encik. Lagi 10 minit diorang ada peperiksaan," rayu pemuda itu lagi.
"Ya lah, ya lah. Naik-naik. Saya pun sekarang bawak teksi, susah sekarang. Lepas ni kena hantar teksi ke bengkel," jawab pemandu teksi separa mengeluh.
Bapak Pengangkutan Awam mungkin terlepas pandang. Bertempik transformasi itu, ini tapi mutu pengangkutan awam di utara Kuala Lumpur dan Selangor nampaknya lebih buruk berbanding tahun 90-an. KTM Komuter itu pun sudah banyak kali meragut masa berjam-jam rakyat.
Perdana Menteri dan raja-raja pula mana pernah rasa gelisah apalagi tahu makna payahnya menunggu bas. Mereka pun mana tahu bebanan pemandu teksi hari ini ketika kos hidup serba-serbi naik mendadak.
Perjalanan mereka ketika berkenderaan diiringi ramai polis trafik yang mengarahkan rakyat sedang bersesak di jalan raya ke tepi memberi laluan. Wang pun bukan masalah besar bagi mereka seperti dialami ramai rakyat marhaen.
Ya. Hanya mereka saja ada hak untuk cepat menuju ke tempat yang dicita. Anak-anak sekolah generasi masa depan ini peduli apa lambat untuk mengejar cita-cita.