t>

Breaking News

Hilang Lebih 12 Jam, Kanak-Kanak Perempuan Akhirnya Ditemui Selamat.

Kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang ketika bermain sendirian di gelanggang futsal di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Gua Musang, ditemui selamat.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, Nur Dania Qistina ditemui penduduk di blok tidak berpenghuni selepas 12 jam dilaporkan hilang.

Kanak-kanak itu ditemui lemah dan ketakutan selain tidak mampu menjawab sebarang pertanyaan ahli keluarganya.

Menurut neneknya, Tuan Sharifah Hanisa Syed Ali, 53, bersyukur cucunya ditemui selamat di tingkat bawah blok tidak berpenghuni itu.


“Saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap cucu kerana dia seolah-olah dalam keadaan takut dan mahu melarikan diri.

“Malah, ketika penduduk menjumpainya, Nur Dania Qistina masih cuba lari sebelum dipeluk penduduk kampung. Ketika itu barulah dia agak tenang,” katanya.

Sebelum kehilangan Qistina, Sharifah Hanisa, berkata dia dan cucunya keluar makan roti canai dekat rumah mereka.

“Ketika dalam perjalanan pulang, Nur Dania Qistina ingin bermain di taman rumah mereka. Waktu itu kira-kira 9 malam.

“Tapi, kira-kira 11 malam, saya mula bimbang dan turun untuk melihat cucu saya, namun ketika itu Nur Dania Qistina sudah tiada sebelum memaklumkan kepada penduduk kampung.


“Sejak malam tadi kami cari di blok kosong itu tapi tidak menemui cucu saya.

“Alhamdulillah akhirnya, Nur Dania Qistina ditemui selamat dan saya percaya ada ‘benda halus’ menyembunyikan cucu saya," katanya.

Menurut sumber, ibu kanak-kanak itu, Wan Nurhafiza Wan Hassan, 32, berniaga kedai makan di Kampung Simpang Empat Kundur, di Gua Musang.


Ayahnya telah tiada dan Tuan Sharifah Hanisa akan menjaga cucunya jika Wan Nurhafiza keluar berniaga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.


Sumber :    Harian metro