t>

Breaking News

Perlu Ke Majlis Graduasi Yang Mewah Untuk Pelajar Sekolah..

Sesi persekolahan 2017 kini sudah hampir ke penghujung.

Kecuali calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang masih berdebar-debar kerana belum menempuh peperiksaan, rata-rata pelajar sekolah menengah yang lain sudah tidak sabar menunggu November iaitu bermulanya cuti akhir tahun.

Murid sekolah rendah lebih-lebih lagi,  terutamanya calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah  (UPSR) yang sudah lebih sebulan menduduki peperiksaan itu.


Gambar Hiasan
Masing-masing hanya menghabiskan saki-baki hari persekolahan dengan mengikuti aktiviti yang dirancang pihak sekolah.

Seperti lazimnya pada waktu-waktu begini, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pastinya sedang sibuk merancang acara penyampaian hadiah atau yang kini lebih seronok dipanggil 'majlis graduasi'.

Acara tahunan ini boleh dikatakan menjadi aktiviti kemuncak sekolah yang biasanya dirancang sambutannya sejak awal tahun lagi, dengan matlamat penganjurannya mesti lebih meriah daripada acara yang lain.

Apabila lebih meriah tentulah bajet atau peruntukan untuk menganjurkannya juga lebih.

Jika yang diadakan di sekolah pun sudah memakan belanja ratusan ringgit apatah lagi jika dibuat di luar, di dalam dewan yang disewa khas tentulah mencecah ribuan ringgit.

Kebelakangan ini 'semangat' untuk menambah kemeriahan majlis graduasi sekolah semakin menjadi-jadi sehinggakan ada yang  mengadakannya di hotel atau dewan mewah,  yang kosnya melebihi lima angka.

Jangan terkejut, majlis graduasi sekolah kini mengalahkan majlis konvokesyen untuk menerima diploma dan ijazah dari kolej atau universiti.

Semua lengkap berjubah, berarak atas karpet merah untuk mengambil sijil tamat sekolah rendah atau menengah dengan disaksikan ibu bapa, yang tentu sahaja dikenakan bayaran tertentu untuk menyaksikan 'hari bersejarah' anak masing-masing.

Memang cukup eksklusif.

Sungguhpun acara penyampaian hadiah memang tersenarai dalam takwim aktiviti sekolah dan di dalam pengetahuan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri, penulis percaya kementerian dan jabatan terbabit tidak pernah menetapkan penganjurannya perlu dibuat dalam skala besar dan mewah.

Hal ini kerana, pernah suatu ketika masyarakat khususnya ibu bapa kecoh tentang yuran sekolah yang didakwa tinggi sehingga membebankan mereka. Rungutan ibu bapa terutamanya mendorong pihak kementerian menetapkan kadar yuran minimum yang seingat penulis tidak sampai pun RM20 bagi setiap murid. Yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga ditetapkan agar tidak terlalu tinggi hingga boleh membebankan ibu bapa.

Namun entah di mana silapnya. Atau mungkin sahaja masyarakat sudah lupa dengan kekecohan kadar yuran sekolah suatu ketika dulu, atau memang mereka merelainya, pelbagai caj  tambahan yang sudah ditiadakan sebelum ini muncul kembali.

Penganjuran majlis graduasi sekolah dalam skala besar misalnya, tentu sahaja menuntut yuran tambahan yang besar juga.

Mungkin bukan salah pihak sekolah, mungkin ibu bapa sendiri melalui PIBG yang mahu mengadakan majlis ini secara besar-besaran atas alasan meraikan anak-anak dan sebagai tanda terima kasih kepada guru-guru. Cuma soalnya, perlukah berlebih-lebihan?

Kini di mana-mana orang bercakap tentang beban kos sara hidup yang tinggi, dan kebanyakan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mengecilkan bajet rumahtangga atau domestik dengan berbelanja hanya yang perlu. Jadi perlukah 'majlis graduasi' murid tadika dan sekolah rendah bahkan pelajar sekolah menengah diadakan di luar kawasan sekolah, di dalam dewan yang disewa khas?

Penulis percaya ramai pun bersetuju bahawa yang perlu adalah majlis penyampaian hadiah. Jika dibuat di sekolah pun meriah juga, bahkan mungkin lebih meriah kerana seluruh ahli keluarga boleh datang meraikannya. Adik-adik boleh datang menyaksikan abang atau kakak menerima  sijil tamat sekolah dan pelbagai sijil penghargaan lain lantas menjadi teruja untuk mengikut jejak mereka.

Semuanya boleh hadir, tanpa had atau caj tambahan berbanding jika dibuat di tempat yang eksklusif.

Seingat penulis yang bersekolah harian biasa di sekolah rendah, belajar di sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) di peringkat menengah dan kemudian ke sekolah tinggi, begitulah resamnya. Setiap kali acara penyampaian hadiah dan tamat persekolahan bagi murid tahun enam, pelajar tingkatan lima dan enam atas pada hujung tahun, berlangsung dengan meriah di sekolah.

Mungkin penulis agak kolot kerana bernostalgia sebegini. Namun fikiran penulis asyik tertanya-tanya apa yang lebih penting? Majliskah atau tempatnya?

Lagipun majlis graduasi ini sepatutnya untuk  lulusan kolej dan universiti. Belum masanya untuk murid sekolah tahun enam.

Upacara tamat persekolahan dengan majlis penyampaian sijil yang diserikan persembahan oleh guru dan murid-murid mewakili semua kelas tidak kira yang pandai mahupun corot sudah memadai. Tidak payahlah anak-anak ini pun bergraduasi dengan jubah dan topi empat segi.

Sepatutnya anak-anak ini diajar tentang peringkat-peringkat pencapaian dalam kehidupan supaya mereka benar-benar menghargai nilai sekeping sijil dan bezanya dengan segulung diploma atau ijazah.

Dahulukan apa yang perlu dan sepatutnya menjadi keutamaan. Ini akan memastikan mereka menerima didikan yang betul sehingga tahu membezakan mana yang perlu atau afdal, dan mana pula perhiasan aksesori dan sekadar komestik.

Tentu sahaja kita tidak mahu anak kita jadi plastik, hanya mengutamakan gaya luaran daripada isi.

Sumber : Utusan Online