Gadis 19 Tahun Tertekan Pedal Minyak, Rempuh Stesen Petrol.
Seorang pemandu wanita cedera apabila dia tertekan pedal minyak keretanya sehingga merempuh kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Jalan Pesona, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru kira-kira 1.30 pagi, hari ini, lapor Harian Metro.
Sebelum kejadian itu, pemandu berusia 19 tahun terbabit dikatakan sedang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan.
Gambar - Metro |
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Saga itu tertekan pedal minyak lalu terbabas dan meluncur masuk ke dalam kedai serbaneka.
"Pemandu kereta itu dari Taman Pelangi Indah dan pergi ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak.
"Apabila selesai mengisi minyak, pemandu kereta yang juga seorang kerani dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas dan meluncur masuk ke dalam kedai serbaneka.
"Dia mengalami luka kecil di muka, tangan dan kaki akibat kemalangan itu," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.