t>

Breaking News

Kerana Lebih Percayakan Penjual Supplemen Penyakit Saya Makin Teruk - Luahan Bekas Pesakit Kanser.

Oleh : Shamsul Ramli
Herm nampaknya ada di kalangan sahabat baru yang agak keliru dengan rawatan kanser yang pernah aku lalui. Macam ni sebenarnya kawan, aku memang tak pernah jalani kimoterapi, tak pernah jalani radioterapi. Satu-satunya rawatan kanser yang aku jalani adalah pembedahan.
Ya, memang pada peringkat awal aku dijadualkan untuk menjalani 36 kali radioterapi bersama 6 kitaran kimoterapi. Pada mulanya memang aku sudah bersetuju dengan pihak hospital. Jadual sudah dibuat, malah aku telah siap buat mask pun. Tapi sampai tarikh yang ditetapkan aku mengalami 'cold feet'!
Yup aku lari dari rawatan! Aku menggagalkan diri aku untuk menghadiri rawatan yang telah disarankan.
Kenapa?
Kerana aku terpengaruh dengan kisah-kisah 'seram' akibat rawatan kanser yang aku baca dari internet!
Kenapa?
Kerana aku mendengar maklumat-maklumat yang terpesong dari maklumat sebenar berkaitan rawatan kanser!
Kenapa?
Kerana aku mempercayai penjual produk kesihatan (suplemen) melebihi doktor yang merawat aku!
Dan akhirnya aku memilih untuk mencuba rawatan yang so called 'alternatif'.
Hasilnya?
Setelah lebih sebulan, dipendekkan cerita, kanser aku tidak sembuh dengan rawatan alternatif itu, malah bertambah teruk. 
Ketumbuhan yang bersarang dalam tekak aku semakin membesar dan hampir menutup keseluruhan salur nafas aku. Aku pernah mengalami sesak nafas dan aku rasa sudah hampir kehilangan nyawa!
Akhirnya aku menyerah diri ke hospital. Mujur ianya belum terlambat buat aku, namun aku harus juga menjalani pembedahan membuang keseluruhan peti suara aku.
*******
Jadi sebab itulah, jika ditanya mengapa aku bengang sangat dengan produk-produk kesihatan yang 'over claim' ini? Nah di atas itu aku sudah menjawabnya.