Lempang Anak Sampai Pipi Merah & Telinga Berdesing, Kami Akan Saman Cikgu Azizan Kata Keluarga Pelajar.
Keluarga seorang murid yang ditampar guru lelaki Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai di sini bercadang memfailkan saman terhadap guru tersebut kerana mencederakan anak mereka.
Ibu murid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 45, berkata, mereka terkilan dengan keputusan mahkamah melepaskan guru tersebut, Azizan Manap atau Cikgu Azizan, namun menimbang untuk mengemukakan saman sivil selepas ini lapor Utusan Online hari ini.
Katanya, mereka mempunyai bukti kecederaan serius dialami anak bongsu daripada lima beradik tersebut termasuk gambar dan laporan perubatan.
“Pipi anak saya merah (cedera) manakala telinganya berdesing akibat ditampar. Pegawai perubatan yang merawatnya juga mencadangkan supaya membuat laporan polis kerana kecederaan itu.
“Kami akan dedahkan semua bukti berhubung kecederaan itu dalam sidang akhbar yang akan diadakan esok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Nilai di sini hari ini.
Mas mendakwa, dia dan suaminya yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak pernah dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa anaknya mengalami masalah disiplin selama ini.
“Kami hanya tahu anak kami dikatakan ada masalah disiplin selepas kejadian dia ditampar oleh cikgu berkenaan. Itu pun selepas kami bertanya mengapa tampar anak kami sampai begitu sekali,” katanya.
Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan daripada tuduhan mencederakan murid berusia 11 tahun itu.