t>

Breaking News

Dibayar Lebih RM30,000 Jika Bunuh Mangsa Shell Taman Pelangi.

Stesen minyak yang menjadi tempat pembunuhan seorang ketua kumpulan kongsi gelap di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini pada malam ahad, sekali lagi mencuri tumpuan pada Rabu.

Ini berikutan terdapat upacara ritual dilakukan di tempat kejadian bagi memangggil semula roh mangsa yang terbunuh lapor Bernama hari ini.

Upacara bermula pada 4.49 petang dengan dilakukan oleh dua sami sambil dihadiri dua wanita dipercayai isteri mangsa dan rakannya.

Beberapa anggota polis dan media daripada pelbagai organisasi turut berada di lokasi kejadian sejak pukul 3.30 petang bagi mengawal keselamatan dan membuat liputan mengenai upacara itu.

Gambar - FMT
Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, upacara sedemikan penting kerana roh seseorang yang mati secara tragik misalnya membunuh diri dan dibunuh akan berkeliaran di kawasan lain selepas insiden dan perlu dipanggil balik ke tempat asal (rumah) bagi memastikan rohnya tenang.

Upacara tamat pada pukul 5.30 petang.

Dalam kejadian ahad lepas,mangsa berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis menggunakan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki.

Pada semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd turut berkata pihaknya telah mengenal pasti keempat-empat suspek dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan mereka. 

Dalam perkembangan berkaitan, ada pihak yang didakwa menawarkan ganjaran sehingga lebih RM30,000 untuk memburu lelaki yang mati ditikam dan digilis di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, sebulan sebelum kejadian pada malam Ahad lalu. 

Sumber dipetik China Press melaporkan mangsa mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Sumber itu tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mahu membalas dendam akibat pertikaian wang dalam urus niaga dadah sehingga sanggup menawarkan ganjaran tinggi untuk membunuhnya. 

Sin Chew Daily pula melaporkan mangsa dibunuh kerana “dianiaya” berhutang RM150,000 dengan pihak tertentu. Akhbar itu melaporkan mangsa sudah membayar RM100,000 dan gagal membayar baki RM50,000 kepada kumpulan 4 lelaki itu selepas tamat tempoh ditetapkan. 

Menurut laporan itu, sumber mendedahkan ada pihak menawarkan ganjaran di Facebook sejak sebulan lalu, iaitu RM23,888 untuk sebarang maklumat sehingga menemui mangsa dan RM32,888 jika berjaya menyerahkan lelaki itu. 

Bagaimanapun, laman itu kini tidak lagi beroperasi. Akhbar itu bagaimanapun tidak tahu jika orang yang memburu mangsa adalah kumpulan sama yang membunuhnya pada Ahad.

Seorang rakannya melalui Facebook mempertahankan mangsa dengan berkata, lelaki itu tidak akan menipu atau menindas kawasan sendiri atau sengaja mencari pasal. 

Oleh itu, beliau mendakwa mangsa dianiaya pembunuh yang bukan sahaja sudah menerima RM100,000 daripada mangsa, malah memaksa lelaki terbabit membayar baki RM50,000 dan disebabkan mangsa gagal berbuat demikian, mereka bertindak membunuhnya.