t>

Breaking News

Mufti N9 Nasihatkan Peminat KPOP Yang Berang Dengan Teguran Mufti Perak.

“Mudah-mudahan ALLAH beri hidayah pada dia,” ujar Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad secara spontan.


Reaksi itu diberikan beliau terhadap perlakuan seorang wanita Muslim yang dipercayai menghamburkan kata-kata kesat kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menerusi laman sosial Twitter sehingga menjadi tular.

Difahamkan, wanita itu berang kerana ulama terbabit menegur perbuatan umat Islam yang turut berkabung dengan lilin ketika memperingati kematian artis K-Pop, Kim Jong-hyun pada Jumaat lalu di ibu negara.

Berdasarkan penjelasan Harussani sebelum ini, haram hukumnya bagi umat Islam berbuat sebegitu apatah lagi si mati bukan Muslim dan telah membunuh diri.

“Barangkali dia ingat (bab tuntutan) agama ini sekadar hanya pakai tudung, tutup aurat, sembahyang dan puasa. Tapi sebenarnya lebih dari itu.

“Tambahan pula, ada orang yang berkecimpung dalam bidang agama sendiri cuba menyeleweng (dari ajaran Islam) dan mempengaruhi mereka,” katanya.

Akibat faktor tersebut, kata beliau, menyebabkan agama Islam dipandang enteng oleh segelintir pihak.

“Kita mesti mendalami betul-betul hal berkaitan agama. Tidak boleh hanya dengar-dengar daripada orang berceramah macam itu saja.

“Kadang-kadang ceramah itu mengelirukan, sehingga menjadikan mereka semakin jauh daripada apa yang sepatutnya diketahui,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, tiada masalah untuk menghadiri majlis pengebumian bukan Muslim, asalkan tidak ikut sekali melakukan upacara yang bertentangan dengan hukum Islam.

Selain itu, beliau turut menggesa golongan bijak pandai agama supaya sama-sama memberi teguran kepada remaja yang menyimpang jauh dari ajaran Islam.

“Jangan hanya sibuk dengan isu bidaah dan benda remeh. Sedangkan perkara berkaitan akidah pula, masing-masing buat tidak tahu saja.

“Semua pihak kena beri perhatian. Bukan hanya ahli agama, tapi orang yang berpengaruh dalam pemerintahan pun perlu juga beri teguran.

Sumber : Sinar Harian