t>

Breaking News

PPSR Ganti UPSR, Ini Penerangan Dari Cikgu.

Cikgu, PPSR tu apa? Risau la akak, anak akak Tahun 6 tahun depan. Kenapa kerap benar silibus bertukar? Macam mana ni cikgu nak hadapi? Kesian anak-anak kami jadi tikus makmal. Asyik jadi bahan eksperimen sahaja.
Baik. Kau orang tenang-tenang sahaja. Yang nak exam, anak kau. Bukan kau. Lagipun cikgu Korea kau ni takkan biarkan kau orang dalam dilema. Aku jelaskan satu-persatu.
Benda ni, kami dah 'run' lama dah. Sejak KSSR diperkenalkan pada 2011. Tahun ini, KSSR Semakan pula diperkenalkan. Silibus baru yang padat dan tinggi arasnya.
Namun, baru tahun ini kerajaan perkenalkan pada umum. Baru tahun ini result keputusan UPSR bukan sekadar sekeping slip semata-mata, bahkan ada satu fail pencapaian murid bersama-sama.
Tahun ini kita dah mula sebenarnya, namun secara tidak rasmi. Secara rasminya tahun depan.
Silbus baru lagi. Anak kami jadi eksperimen lagi. Kesian anak kami, cikgu.
Tidak. Silibus tidak bertukar. Masih kekal silibus terbaru, KSSR Semakan yang murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 guna tahun ini. Silibus itu akan dibawa ke tahun dua dan tingkatan dua tahun depan.
UPSR macam mana cikgu? Ada ke mansuh? Kalau ada formatnya macam mana?
Format Peperiksaan UPSR tak berubah pun. Cuma keputusan UPSR tu bukan slip UPSR sahaja. Ia merangkumi semua penilaian. PPSR ini gabungan penilaian PBD, Psikometerik, PAJSK dan PP (UPSR).
Daripada keputusan PPSR nanti, senang ibubapa dan guru-guru nak lihat kecenderungan anak-anak kita nanti.
Secara tak langsung, bilamana ada ujian pajsk, psikometrik dan semua ni , guru boleh lihat kcenderungan murid dalam skill mana. Bila kenal kecenderungan, mudah ibu bapa dan guru mengasah bakat sedia ada mereka.
Kalau anak saya tidak aktif sukan akan mempengaruhi result dia ke cikgu? Kalau anak saya gemuk mempengaruhi juga ke?
Betul. Walau anak kau dapat 6A dalam komponen Upsr, tapi keputusan PAJSK, Psikometrik dan PBD tak seberapa, aktiviti Koko pula selalu tak hadir, tak banyak sumbangan diperingkat sekolah, daerah mahupun negeri, Ujian SEGAK tak buat, tahap kecergasan tak memuaskan, semua itu akan mempengaruhi keputusan PPSR. PBD (pentaksiran bilik darjah) adalah pentaksiran untuk semua mata pelajaran yang diambil oleh murid. Bukan hanya subjek UPSR sahaja.
Faham ke tak ni? Senafas aku tulis tu.
Cikgu, cikgu! Ni buat saya risau ni. Anak saya gemuk. Rendah la markah dia nanti.
Kau bawalah anak-anak bersenam setiap hujung minggu. Jaga pola pemakanan dia dengan lebih teratur. Kan bagus tu. Satu keluarga sihat sebab anak nak ambil PPSR.
Tapi cikgu, anak saya ni ada penyakit. Tak boleh kena panas. Tak boleh bergerak. Tak boleh berpeluh. Macam mana cikgu? Kesian la dia, nanti markah dia rendah.
Pulak dah. Macam-macam betul anak kau ni. Baik, dengar sini.
Aktif ni bukan sahaja dari segi sukan bola sepak, ragbi atau olahraga. Dari segi aktiviti ko-akademik pun termasuk juga. Contohnya permainan catur, setem dan felatelli, kesenian dan kebudayaan (pantun, dikir barat, nasyid, boria ), seni visual, sahiba dan lain-lain.
Jika murid tidak mampu untuk bersukan yang lasak, minta mereka fokus pada aktiviti ko-akademik. Kalau itu pun mereka tak mampu, terimalah keputusan yang sedikit rendah.
Dah itu keupayaan anak-anak kita. Terimalah dengan rela. Asah lagi bakat mereka yang boleh kita asah. Sentiasa suruh mereka ke depan dalam setiap pertandingan dan program sekolah.
Didik anak dari rumah lagi. Pupuk kecenderungan mereka. Jangan harap semua benda cikgu nak bagi tumpuan pada anak kau orang. Senang bila kat sekolah nanti cikgu tahu dah apa kelebihan anak-anak kita.
Jadi, apa kesimpulan cikgu?
Tak payah nak simpul-simpul sangat lah. Berbelit nanti. Terus terang aku kata, PPSR ini satu penilaian yang lebih telus dan menyeluruh. Satu penambahbaikan yang bagus dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Terima kasih cikgu atas penerangan panjang lebar cikgu. Eh jap cikgu. DLP ni binatang apa pula? Kenapa semua pakat risau dengan DLP ni cikgu?
Sudah. Sudah. Penat dah aku menulis ni. Aku lapar nasi dah ni. Lain kali pula aku tulis pasal DLP tu.
Kau ingat aku tulis ini percuma? Belanja ah pizza ke, kepsi ke kalau terserempak. Takkan itu pun aku nak kena cakap. Hmmm, geram pula aku.