Selebriti Usah Jadi Kacang Lupakan Kulit - Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT).
Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT) menasihati agar golongan selebriti hiburan supaya tidak menjadi seperti 'kacang lupakan kulit' apabila lantang menulis di media sosial berbaur politik seolah mempertikaikan sumbangan kerajaan.
Presidennya, Datuk A Rahman Hassan, berkata warga seni sesekali harus memandang ke belakang soal kemudahan yang disediakan kerajaan selama ini sehingga membolehkan warga seni selesa dan bebas untuk berkarya di negara ini lapor Berita Harian.
"Hakikatnya nyata bagaimana kedudukan anak seni hari ini dilihat cukup beruntung berbanding zaman dulu. Kemudahan yang ada ketika ini sejak mereka dilahirkan hingga menjadi anak seni yang berjaya semuanya disebabkan infrastruktur dan sokongan kerajaan di bawah pimpinan UMNO.
"Tidak dinafikan memang golongan selebriti memiliki kelebihan dan pengaruh yang kuat, lebih kuat daripada orang politik, bermakna inilah masanya kita perlu berperanan membalas kembali jasa dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan bukannya menjadi seperti 'kacang lupakan kulit'," katanya, memetik laporan media itu.
A Rahman mengulas tindakan beberapa selebriti tanah air yang menulis media sosial, yang dianggapnya dibuat tanpa berfikir panjang kesannya di kemudian hari.
Antaranya termasuk Datuk Sheila Majid menerusi Twitter semalam mengeluh mengenai keadaan ekonomi negara yang dirasakannya buruk tanpa merujuk mana-mana pihak.
Sheila menyebut, "Makanan mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi dan pekerjaan pula kurang. Rakyat Malaysia sudah bosan dan marah kerana diperah akibat hutang yang bukan berpunca daripada kami. Tumpu perhatian kepada tugas untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul. Mengecewakan," katanya.
Sebagai orang lama dalam industri hiburan, A Rahman mengakui kecewa dengan kelantangan sesetengah warga seni hari ini yang hanya pandai mengeluh tetapi tiada usaha untuk memajukan diri sendiri.
"Kita bukannya mahu menjadi orang politik, soal rakyat biarlah orang politik yang uruskan, tetapi sebagai anak seni yang tahu kedudukan dan peranan kita, inilah masanya untuk menyatakan sokongan kita kepada kerajaan sekali gus membela nasib anak seni yang dalam kesusahan," katanya.