t>

Breaking News

Wahai Ibu Bapa Tempat Duduk Di Kantin Hak Pelajar, Bukannya Hak Kamu..

Terlihat gambar pertama yang seorang sahabat share. Terus menyirap darah ke muka.
Aku marah. Sangat! Banyak kali aku tulis hal ini sejak bertahun-tahun dulu lagi.
JANGAN AMBIL HAK MURID!
Kerusi kantin itu hak murid. Tempat murid duduk untuk makan. Bukan untuk ibubapa duduk dan melayan anak-anak sendiri hingga murid lain termangu-mangu tiada tempat hendak tuju.
Gambar - Mohd Fadli Salleh
Kes begini banyak kali aku hadapi dari dulu lagi. Aku tidak pernah segan silu nak 'sound' ibu bapa yang ambil tempat duduk. Dengan nada marah, dengan nada keras aku akan bersuara.
Siapa sahaja yang ambil hak anak-anak aku, aku akan sound direct. Nak terasa? Silakan. Memang aku harap sangat mereka terasa.
Apa punya manusia tak fikirkan hak orang lain? Tak fikirkan murid lain yang datang tanpa ditemani ibu bapa.
Gambar - Mohd Fadli Salleh
Aku sangat marah kerana hal ini berlaku pada aku 7 tahun dulu. Satu kisah benar yang menimpa aku sebagai guru tahun satu. Aku pernah tulis dulu, hari ini aku tulis lagi.
Seorang anak yatim, ayahnya dah lama meninggal. Ibunya pula sakit (cancer) kalau tak silap dan terpaksa ditahan di wad. Mak saudaranya yang jaga budak itu.
Dan dihari pertama persekolahan, tanpa sesiapa yang teman, dia terkebil-kebil sendirian. Berdiri diam ditepi tiang sambil menyaksikan betapa kejam orang dewasa duduk ditempat dia sambil menyuap anak mereka makan.
Masa rehat tamat. Murid itu kelaparan, namun tidak sempat makan. Masa dia letak pinggan yang masih penuh tanpa disentuh baru aku perasan.
Aku duduk dan tunggu dia makan. Temankan dia walau dia dah kalut nak masuk kelas kerana semua kawan-kawannya sudah bergegas masuk kelas. Dia takut kena marah dengan cikgu.
Dia rela berlapar kerana risau lambat masuk kelas.
Namun dengan jaminan aku, dia akhirnya akur untuk makan. Aku tunggu sampai dia siap, aku hantar dia ke kelas.
Itu anak yatim yang kau orang dewasa kejam ambil hak dia.
Kau paparkan gambar bahagia menyuap anak tercinta di kantin padahal sebenarnya kebahagiaan kau itu meragut hak anak yatim!
Sejak itu aku memang cukup pantang kalau ibu bapa duduk di kantin waktu murid ramai. Waktu lapang, silakanlah. Waktu sesak, tak payah!
Kau lihat gambar terakhir . Itu gambar ibu bapa murid sekolah aku.
Tidak berani mereka duduk mengambil hak murid-murid aku kerana aku berpesan dengan tegas,
"Jangan sesekali duduk dikerusi kantin selagi ada murid masih berdiri mencari tempat duduk. Jika ada ibu bapa duduk sedangkan murid tercari-cari tempat, aku akan marah."
Itu yang aku ungkap di Hari Orientasi beberapa hari lepas. Aku ulang berkali-kali menandakan aku memang serius tentang hal ini.
Semalam, hari pertama nampaknya semua ibu bapa murid aku faham. Mereka ajar anak mereka membeli, mereka ajar anak mereka terima baki, mereka suap anak mereka dengan penuh kasih sayang, namun mereka tidak duduk selagi ada murid berdiri mencari tempat.
Tahniah buat ibu bapa murid Sk (1) Gombak atas kerjasama erat ini.
Guru-guru Tahun Satu seluruh negara, sila bertegas dengan hal ini. Jangan biarkan ibu bapa yang tiada perasaan terus menerus ambil hak anak-anak murid kita.
********
Gambar pertama kiriman sahabat. Sekolah tidak dapat dikenal pasti. Kalau aku tahu pun aku rahsiakan juga.
Biro pendidikan 
- Ada benda boleh bertolak ansur, ada benda memang kena bertegas.