t>

Breaking News

ATC Herbs Ada 7 Racun Berjadual Yang Dilarang Kata KKM.

Kenyataan Akhbar KPK – Isu Campurpalsu Produk Kesihatan
Merujuk kepada artikel yang disiarkan atas talian dalam akhbar Berita Harian bertarikh 31 Mei 2018 yang bertajuk “Pil kurus punca ujian doping gagal, dirampas” dan akhbar Harian Metro bertajuk “Rampas pil kuruskan badan beracun”, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memberi penjelasan lanjut berkenaan dua siri tindakan penguatkuasaan terhadap produk kesihatan yang dicampurpalsu yang dijalankan baru-baru ini.



Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima aduan dan maklumat berkenaan penggunaan produk kesihatan yang disyaki telah dicampurpalsu dengan bahan terlarang yang melibatkan orang awam dan atlit negara. Produk campurpalsu merujuk kepada produk yang diuji dan dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak sepatutnya berada di dalam kandungan produk tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati produk kesihatan ini dipasarkan secara meluas secara di atas talian. Hasil analisa kimia yang dijalankan terhadap tiga (3) sampel yang diperolehi di pasaran mendapati produk kesihatan Carboflex, Oilflex dan produk tradisional ATC Herbs telah dikesan mengandungi racun berjadual seperti berikut:

1. Carboflex : Sibutramine

2. Oilflex : Orlistat

3. ATC Herbs : Dexamethasone, Ibuprofen, Chlorpheniramine, Chloramphenicol, Clarithromycin, Tetracycline, Lovastatin


Produk tradisional ATC Herbs juga merupakan produk yang tidak berdaftar dengan KKM.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

Berikutan aduan dan maklumat yang diterima, operasi serbuan secara bersepadu yang diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah dilakukan ke atas lapan (8) buah premis yang disyaki mengedar dan menjual produk – produk berkenaan. Kesemua produk telah dirampas untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai lebih RM650 ribu.

Bagi produk kesihatan yang tidak berdaftar, kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Manakala bagi produk kesihatan yang dicampurpalsu dengan racun berjadual, kes akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, individu/ syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan SERTA MERTA disebabkan kesan kemudaratan penggunaan produk ini terhadap kesihatan tubuh badan. Sibutramine adalah ubat terkawal yang telah dilarang penggunaannya di Malaysia sejak 2010 disebabkan peningkatan risiko kesan sampingan kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok. Sibutramine kerapkali disalahguna dan dicampurpalsu ke dalam produk kesihatan untuk tujuan pelangsingan.

Bagi racun berjadual yang lain iaitu Orlistat, Dexamethasone, Ibuprofen, Chlorpheniramine, Chloramphenicol, Clarithromycin, Tetracycline dan Lovastatin, pengambilan racun berjadual sebagai ubat terkawal oleh orang awam sepatutnya melalui diagnosis seorang pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan atau dibekalkan oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak menggunakan produk campurpalsu dan produk – produk yang tidak berdaftar dengan KKM. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Selain itu, orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

https://kpkesihatan.com/…/kenyataan-akhbar-kpk-7-jun-2018-…/