t>

Breaking News

Kisah Anak Kampung Diiktiraf Sarjana Terkemuka Dunia.

Oleh : Abdul Muein Abadi
 

Kisah Anak Kampung Diiktiraf Sarjana Terkemuka Dunia

Ini ialah kisah benar tentang dua orang anak kampung yang berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) Sains Politik pada Julai 2018. Kisah ini menarik kerana mereka bukan setakat lulus PhD dengan cemerlang, bahkan diiktiraf pula oleh pemeriksa yang merupakan pakar terkemuka dari luar negara. Malah, kedua-duanya adalah lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Apa rahsia kejayaan luar biasa mereka?



Sudah lumrah anak kampung yang belajar di universiti berdepan pelbagai cabaran dan halangan – daripada kesukaran persaingan, dialek bahasa baku untuk akses temu bual tokoh, silibus pengajian yang mencabar, suasana asing di tempat orang, hinggalah ke masalah beban kewangan yang besar. Kesemua cabaran ini dihadapi oleh kedua-dua anak kampung ini.

Kadang-kadang mereka hadapinya dengan pedih seperti sindiran tajam pegawai zakat yang mempersoalkan tindakan sambung belajar, diperlekehkan oleh rakan-rakan yang lebih berada, diperkecilkan kerana dialek kampung, malah ada ke tahap dipandang rendah oleh sanak-saudara dan kerabat keluarga sendiri. Lalu bagaimana kedua-dua anak kampung yang akan saya ceritakan ini berjaya lulus cemerlang di tangan pemeriksa pakar luar negara?

Kisah pertama tentang Dr. Hussain Yusri, seorang anak kampung dari Terengganu. Latar belakang beliau menarik. Dibesarkan dalam suasana keluarga yang menitikberatkan amalan agama dalam kehidupan, beliau nyaris tidak meneruskan pengajian ke universiti. Tidak menghairankan kerana selepas SPM, beliau lebih tertarik untuk menyertai sekolah Pondok bagi mendalami pengajian bidang agama.

Walau bagaimanapun, apabila beliau cuba-cuba mengikuti pengajian Tingkatan Enam, guru-guru di sana (Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah SMKTB) berjaya menambat hati beliau untuk kekal meneruskan pengajian hingga memperoleh STPM dan seterusnya ke UKM. (Berkat doa restu Cikgu Rohani Said, Teacher Mok Mee Yoke, Cikgu Faridah Ab Ghani, Cikgu Rozita, Cikgu Maimun, dan semua guru Tingkatan 6 SMKTB 2006-2007).

Di UKM beliau mempamerkan ciri penting yang membawa kepada kejayaan beliau – sifat tekun, sabar, dan ‘tidak malu’. Beliau tekun mengikuti perbahasan isu semasa, tekun menelaah karya-karya penting, tekun menulis. Beliau sabar membaca tulisan-tulisan berat, sabar menerima kritikan keras, sabar menambahbaik tesis. Beliau tidak malu untuk bertanya meskipun dialek Terengganu beliau sering dipersenda, tidak malu untuk menemubual tokoh seperti Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), dan Menteri Besar Kelantan, tidak malu untuk bersungguh-sungguh. Ya, sifat tidak malu untuk bersungguh-sungguh ini jarang ada pada anak kampung kerana semangat mereka biasanya mudah luntur diejek.

Hasilnya, tesis PhD anak kampung ini yang bertajuk ‘Politik Federalisme: Kajian Royalti Minyak Kelantan’ akhirnya diiktiraf Pengarah Asia Institute, University of Tasmania, Australia iaitu Prof Dr. James Chin yang tidak asing lagi dalam kalangan saintis politik. Prof Dr. James Chin yang dilantik sebagai pemeriksa luar tesis ini menyifatkan beliau sebagai perlu diberikan ucapan Tahniah atas hasil kerja empirikal beliau, bahkan cukup kagum dengan ketelitian analisis beliau dalam Bab 5 dan Bab 6.

Petikan penuh: “The candidate must be congratulated for his empirical work, especially documenting Kelantan’s experience with the oil/gas issue. I am especially impressed with his detailed description in Chapter 5 and 6”.

Ternyata kajian PhD beliau ini diiktiraf sarjana antarabangsa dan bakal menjadi rujukan utama dalam isu royalti minyak Kelantan. Begitulah kisah Dr. Hussain Yusri Bin Zawawi.

Kisah kedua pula tentang Dr. Irwan Syazli, anak kampung dari Perlis. Tinggal dengan nenek sewaktu kecil, beliau memang aktif bermain bola sepak. Ujian melanda apabila keputusan UPSR beliau tercatat 2A3B sedangkan beliau disandarkan harapan sebagai anak lelaki yang sulung. Beliau seterusnya nekad berusaha keras hingga akhirnya diterima masuk ke Matriks dan UKM.

Keputusan ijazah sarjana muda Cemerlang yang beliau peroleh telah membolehkan beliau ditawarkan perkhidmatan ‘fast-track’ TAPS Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Malah beliau turut ditawarkan biasiswa Bright Spark dari Universiti Malaya. Ternyata, minat dan semangat beliau cukup tinggi untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik. Jauh berbeza sama sekali dengan anak muda lain yang berlumba-lumba ingin menjadi PTD, beliau sebaliknya mengambil keputusan meletak jawatan daripada PTD. Sedangkan, pada ketika itu beliau sudah pun selesa di pejabat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Nekad memohon pinjaman MARA, beliau akhirnya melanjutkan pengajian Sarjana di Southampton University, UK sebelum rezeki memihak beliau untuk meneruskan pengajian PhD di Exeter University, UK di bawah tajaan UKM dan Kementerian Pendidikan pula. Lebih manis, beliau yang sudah berkeluarga dikurniakan dua cahaya mata lelaki sepanjang pengajian PhD di bumi asing. Malah, penyelia beliau turut melahirkan seorang anak dalam tempoh penyeliaan.

Meskipun diuji gelombang turun naik ekonomi dunia dan pengurusan kewangan kerajaan yang memberi kesan ke atas biasiswa beliau sekeluarga, namun istilah ‘berputus asa’ dan ‘menyerah kalah’ tidak timbul sama sekali. Jangan pandang rendah sama sekali semangat waja sebegini. Bukan mudah hidup di UK dalam keadaan nilai mata wang kita jatuh. Bukan mudah hidup berkeluarga meneruskan pengajian PhD di UK dalam keadaan kewangan negara yang mencabar. Bukan mudah menyelesaikan PhD tentang gerakan Islam Malaysia dan global dalam keadaan terpaksa melakukan pelbagai kerja demi menampung kehidupan keluarga di UK.

Beliau berusaha sedaya-upaya dengan minat yang sungguh mendalam. Dalam keadaan pelbagai kekangan, beliau bukan sahaja akhirnya berjaya menemubual tokoh gerakan Islam di Malaysia seperti para pemimpin PAS, AMANAH, (dan juga Menteri Pendidikan hari ini, Dr. Maszlee Malik), malah turut berhasil menemubual tokoh terkemuka gerakan Islam Tunisia, Rached Ghannouchi.

Janji Allah itu pasti. Dua kali Allah mengulang, menegaskan betapa di sebalik kesukaran pasti akan disertai kesenangan. Beliau dilaporkan berjaya lulus cemerlang pengajian PhD di Exeter dengan petikan penuh bangga penyelia beliau boleh dibaca di sini:

“Dear All, I would like to inform you that Irwan Saidin passed his viva today with flying colors. His PhD is on Malaysia’s Islamist parties and the Arab Uprisings, and the examiners were Vincent Durac (Dublin), Jonathan and John (Chair). CongratulationsIrwan for producing such a brilliant piece of work and thank you for being such a fantastic person to work with” (Dr. Lise Storm, Senior Lecturer in Middle East Politics, Director of Education (IAIS), Chair of College Ethics Committee (SSIS), University of Exeter).

Demikianlah cerita Dr. Mohd Irwansyazli Bin Saidin.

Tahniah Dr. Irwan Saidin.
Tahniah Dr. Hussain Yusri.
Tahniah Prof. Dato Mohammad Agus Yusoff, sarjana anak kampung yang tidak jemu berterusan mendidik anak bangsa seperti Dr. Irwan dan Dr. Hussain ke pentas antarabangsa.