t>

Breaking News

Mana Mungkin Sapu Krim Boleh Tambah Oksigen Dalam Darah, Berhenti Menipu Pengguna!

Oleh : Suhazeli Abdullah

PRODUK SAPU TAMBAH OKSIGEN?

Saya perhatikan banyak produk kesihatan dalam pasaran menyalahgunakan logo kelulusan KKM untuk menjual. Ianya dikira seolah-olah menipu pengguna yang kurang maklumat berkaitan dengan kesihatan.

Gambar - Suhazeli Abdullah
Sebagai contoh, terdapat produk yang mengistiharkan ianya bukan ubat, produk itu diluluskan sebagai kategori kosmetik. Tetapi iklan dan promosi yang mereka jalankan menjurus kepada produk kesihatan yang mempunyai khasiat perubatan. Maksud kosmetik seperti yang dinyatakan oleh syarat kelulusan KKM adalah: Sejenis bahan yang hanya digunakan untuk luaran tubuh badan seperti kulit, rambut, bibir, luar alat sulit, gigi dan mulut. Tujuan sapuan luar badan itu bertujuan untuk bersihkan badan, wangi-wangian, mengubah wajah/rupa, baiki bau badan, lindungi dan kekalkan kulit senantiasa berkeadaan baik serta segar. Itu sahaja tuntutan khasiat yang boleh diistiharkan oleh para penjual produk yang mendapat kelulusan kategori kosmetik.

Mana-mana produk yang mendakwa mampu menyembuhkan atau merawat penyakit, sedangkan tiada bukti kajian boleh didakwa dibawah akta kawalan ubat-ubatan dan akta pengiklanan. Penekanan di sini adalah bukan denda melalui akta, tetapi lebih kepada kawalan para penjual produk supaya tidak memanipulasi kelulusan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib. Bayangkan jika sesuatu produk itu mendakwa boleh menyembuhkan kencing manis, sedangkan kencing manis itu sendiri adalah sejenis penyakit kronik yang tiada ubatan penyembuhan setakat ini. Ubat-ubatan moden yang terdapat dalam premis kesihatan adalah sebagai membantu untuk mengawal penyakit kencing manis itu semakin teruk atau tidak terkawal. Hatta produk kesihatan yang tumbuh bagai cendawan diluar sana pun masih lagi tidak boleh mencapai tahap dakwaan produk mereka boleh menyembuhkan penyakit kencing manis.[1] Begitu juga dengan beberapa penyakit lain yang salah dari sudut undang-undang mendakwa boleh menyembuhkan. Iklan produk kesihatan dan kecantikan dilarang sama sekali membuat tuntutan perubatan untuk tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis bagi 20 jenis penyakit yang telah disenaraikan di dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal, penyakit atau kecacatan jantung, diabetes (kencing manis), epilepsi atau sawan, lumpuh, tuberkulosis, astma, kusta, kanser/barah, pekak, penagihan dadah, hernia, penyakit mata, hipertensi (darah tinggi), kecacatan otak , kemandulan, kaku (Frigidity), lemah fungsi seks/impoten, penyakit venerus (cth AIDS, Hepatitis) dan kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan lain timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks.
Selain itu iklan tidak dibenarkan membuat tuntutan dengan penggunaan ayat-ayat penarik seperti, “Paling Hebat“, “Terbaik”, “Nombor 1“ dan lain-lain tuntutan yang memperbesar. Iklan produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik di mana fungsi kosmetik adalah untuk membersih, menyegar dan mewangi dan mestilah tertakhluk kepada ‘Cosmetic Advertising Code’. Manakala iklan makanan/minuman kesihatan walaupun tidak di tapis oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) tetapi perlulah mematuhi Akta Makanan 1983 dan iklan alat perubatan harus mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012. Iklan-iklan ini perlu dikawal untuk memastikan bahawa maklumat yang sampai kepada pengguna tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti-bukti yang sahih.

Jika dakwaan boleh menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik manusia, bermakna mereka telah melanggari hak kelulusan. Andai sekiranya memang benar produk kesihatan itu mempunyai khasiat ajaib seperti yang dipromosikan, pengeluar produk bolehlah kemukakan semula profil laporan termasuk kajian yang terperinci kepada Pihak Berkuasa Ubat Kebangsaan (NPRA). Jujurlah dalam menyediakan dakwaan khasiat perubatan itu demi keselamatan dan manfaat masyarakat. NPRA semestinya tiada halangan yang besar untuk meluluskannya jika produk berkenaan benar-benar terbukti boleh menyembuhkan atau mengawal penyakit-penyakit dalam masyarakat. Sudah pasti kajian secara terperinci telah dilakukan bermula dengan kajian atas piring pateri, ujikaji haiwan dan manusia secara skala yang besar. Kajian-kajian tersebut mestilah merangkumi tahap keberkesanan, tahap keselamatan dan kualiti kepenggunaan. Testimoni bukan kajian bermetodologi. Justeru ianya tidak dikira sebagai ujikaji kesahihan. Ianya mungkin kes terpencil yang tidak boleh digeneralisasikan terhadap masyarakat secara keseluruhan.

Jika terdapat produk yang mendakwa hasil sapuan luaran boleh menambahkan/memberi oksigen dan bertindak mengaktifkan kembali hormon yang kurang aktif, baik soal kembali jurujual berkenaan mekanisma aliran oksigen/hormon dalam badan. Adakah produk berkenaan mampu mencairkan darah? Bagaimana tindakbalas bahan aktif yang terdapat dalam produk tersebut? Atau ianya hanya andaian semata-mata oleh para pengedar? Ingin saya tegaskan kembali, sebagai doktor perubatan, saya bukan menidakkan keajaiban yang mungkin wujud. Tetapi sebagai seorang yang diajar dalam ilmu sebab akibat, sudah pasti setiap sesuatu itu pasti terdapat penjelasan sains yang logik. Islam pun mengajar kita sedemikian dalam penafsiran ilmu keduniaan ini. Segala kejadian ajaib di zaman ini tertakluk kepada penjelasan yang ampuh kerana kita bukannnya para Nabi yang mempunyai mukjizat. Kita juga bukan para wali atau orang soleh yang mempunyai kelebihan tertentu seperti karomah dan irhasy.

Mana mungkin dengan sapuan luaran kulit boleh menberikan oksigen atau menambahkan oksigen dalam darah! Adalah tidak munasabah badan kita sudah tidak aktif hormon dan memerlukan sapuan kosmetik lauran untuk mengaktifkannya.

Semoga masyarakat cepat peka dan hindari dengan kaedah promosi yang menguja ini. Saya risau kerana para penjual produk-produk ini ramai terdari kalangan individu yang berpengaruh dalam masyarakat. Ketinggian ilmu mereka dalam bidang yang mereka ceburi tidak boleh dihazafkan dengan sedikit iklan yang mengabui mata semasa ceramah yang disampaikan. Pokok pangkalnya, bertanyalah pakar dalam bidang perubatan berkaitan dengan kesihatan diri anda.

Pautan :


[1] Siaran Akbar. Berwaspada dengan iklna-iklan haram. https://www.pharmacy.gov.my/…/berwaspada-dengan-iklan-iklan…