t>

Breaking News

Yang Sebenarnya Pemimpin Melayu Yang Berpolitik Jer Dapat 'Tongkat', Melayu Lain Berusaha Sendiri..

Oleh : Mohamad Jamalee
 

Tahun ni saya umur 36 tahun.

Boleh katakan generasi ke-3 orang Melayu selepas merdeka dan pembentukan Malaysia. Arwah atuk saya supir. Bapak saya pegawai kastam. Saya meniaga sendiri.

Arwah atuk orangnya kerja kuat. Bapak saya pegawai kastam yang amanah dan sentiasa dapat anugerah.

Kehidupan kami sekeluarga masa kecil tidaklah senang. Gaji pegawai kerajaan ketika itu kecil. Dari darjah 1 sampai 6, saya dari Puchong kena jalan kaki dari Batu 13 ke Batu 12 untuk ambil bas ke sekolah di Petaling Jaya


Dari tingkatan 1 sampai 5 saya berbasikal dari Puchong ke Subang Jaya untuk ke sekolah.

Saya hairan kenapa ada kawan bapak yang hidupnya senang walaupun pangkatnya lebih rendah. Bapak selalu pesan kerja biar jujur dan amanah. Masa tu saya tak faham.

Saya ada seorang pakcik yang kaya-raya. Pemilik Penang Shipbuilding Company (PSC). Tapi pakcik saya ni cukup hormati bapak sebab bapak tak pernah mintak 'pink form'. Atas dasar hormat nilah pakcik banyak "bercerita" apa yang berlaku di balik tabir.

Jadinya saya taulah sedikit sebanyak dan terdedah kepada adegan 'string pulling' dan pukul tendang dunia korporat dan politik sejak dari kecil.

Jadi bila ada pemimpin yang dok bantai orang Melayu malaslah, harapkan tongkatlah, ambil rasuahlah, saya jadi jelik dan mual.

Atuk saya tak macam tu. Bapak saya pun tak macam tu. Saya pun berdikari sendiri saja.

Yang saya tau buat dan perlukan semua benda tu adalah orang Melayu dalam kalangan parti politik. Baik dulu, baik sekarang.

Jika ada seruan kepada orang Melayu supaya lebih jujur, telus dan amanah, saya nak perpanjangkan seruan itu kepada pemimpin dan ahli politik.

Hentikan mengharapkan projek. Hentikan amalan menjilat. Hentikan menjual AP dan kuota. Hentikan mengambil "hadiah". Hentikan mengharap dana dan "wahyu" turun dari langit. Hentikan bina kekayaan disebabkan kabel. Hentikan menunggang Melayu untuk kuasa politik sedangkan anda hanya fikirkan tembolok sendiri.

Hentikan guna wang rakyat dan projek pembangunan untuk kayakan kroni dan untuk 'bail-out' syarikat-syarikat kroni. Hentikan menunggang Melayu walhal sejarah dan agama sendiri hanya digunakan untuk kepentingan masing-masing.

Hentikan nak menyalahkan semuanya atas Melayu walhal kemajuan dan perkembangan orang Melayu dalam hanya 3 generasi adalah amat membanggakan.

Ini adalah orang-orang Melayu peringkat bawah yang tak harap kabel, tak harap kroni, tak harap projek dan bekerja keras membina kehidupan.

Mak ayah berikat perut untuk membesarkan anak-anak dan hantar ke universiti. Bergolok-gadai berhutang untuk anak-anaknya membesar.

Jika ada nasihat untuk orang Melayu, nasihatkanlah yang berada di atas dan puncak kuasa.

You gained so much from the Malays, but you gave back bits and pieces. And you dare say Malays are lazy lots.