t>

Breaking News

Bantuan Sara Hidup 2019 Akan Dibayar Selepas Tahun Baru Cina.

BANTUAN tunai untuk kumpulan berpendapatan rendah akan dibayar selepas Tahun Baru Cina, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng lapor portal The Malaysian Insight.

Katanya, kerajaan memerlukan masa untuk mengumpul maklumat kerana ia akan menggunakan pendekatan baharu bagi menyampaikan bantuan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia sebelum dijenamakan semula kepada Bantuan Sara Hidup.


“Seperti diumumkan dalam bajet (2019), kita akan menggunakan pendekatan baharu untuk menyampaikan bantuan tetapi kerana kita perlu kumpul maklumat dahulu, kita perlukan sedikit masa lagi.

“Ia pasti dibayar selepas Tahun Baru Cina,”
katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Tahun Baru Cina akan bermula pada 5 Februari 2019.

Kerajaan mengubah jumlah bantuan berbanding BR1M sebelum ini, supaya bantuan diberikan mengikut jumlah pendapatan isi rumah, memastikan kumpulan pendapatan rendah mendapat lebih banyak berbanding lain.

Kini, isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah akan menerima RM1,000, kumpulan berpendapatan RM2,001 hingga RM3,000 pula menerima RM750 dan kumpulan bergaji RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima RM500.

Kerajaan juga membatalkan kategori individu yang bergaji RM2,000 ke bawah yang sebelum ini di bawah BR1M menerima RM450.

Tetapi, ia memperkenalkan jenis bantuan baharu sebanyak RM120 untuk setiap anak berusia 18 tahun dan ke bawah khusus untuk kumpulan B40, terhad kepada empat anak untuk satu keluarga.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata selepas PH berkuasa yang bantuan kos sara hidup akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga dimansuhkan sepenuhnya.