t>

Breaking News

"Not Our Level", Tak Usah Berlagak Hanya Kerana Dah Berjaya..

Oleh : Fadhli Sahar

Saya tahu sangat lambat untuk saya tulis tentang isu ini. Semasa ia hebat diperkatakan oleh netizen, saya sekeluarga sedang bercuti di negara timur tengah.

Seperti biasa ia asyik berlegar-legar dikepala saya.

Kepada pelawak negara yang menyindir jururawat negara kita saya ada sedikit pengalaman tentang perkataan 'not our level' ini.


Selepas saya habis belajar saya ditawarkan bekerja disektor minyak dan gas. Waktu dahulu sektor ini adalah pekerjaan yang kaya raya. Ramai graduan yang mahukannya, lagi lagi bekerja di pelantar laut sana.

Saya salah seorang yang bertuah merasainya. Antara orang terawal bekerja pelantar penggerudian diantara kawan universiti saya. Bekerja di pelantar penggerudian antara kerja idaman bagi setiap graduan petroleum seperti saya

Setiap bulan gaji saya hampir mencecah 5 angka. Umur saya belum lagi mencecah 30 waktu itu. Selain itu saya mendapat peluang bekerja di Indonesia, Vietnam, Thailand serta Scotland.

Waktu ini saya bongkak seketika, saya lihat orang yang tak senasib dengan saya sebagai seorang yang 'not our level'. Yang bukan profesional tak setaraf dengan saya. Lagi-lagi orang yang menyertai rancangan realiti TV macam pelawak atau penyanyi segera.

Sungguh saya katakan dari dulu saya tidak pernah menonton akedami fantasia, gegar vaganza, maharaja lawak, atau apa-apa yang sama waktu dengannya. Bagi saya ia membazir masa kerana bukan level saya.

Zaman kegemilangan bukanlah selama-lamanya. Ia hanyalah pinjaman semata-mata. Selepas habis belajar di peringkat Master, saya tidak dapat pekerjaan tetap.

Saya buat apa sahaja untuk mendapatkan wang belanja. Saya memandu Grab, menjual kurma, tolong kawan jual yogurt dan macam-macam lagi saya lakukan. Dan akhirnya saya tertekan dan mengalami kemurungan.

Untuk keluar dari kemurungan saya banyak membaca. Baca kisah-kisah kemenangan, kisah kisah perjuangan dari kegagalan. Ini bukan dari orang luar negara. Cerita saya baca adalah cerita orang Malaysia termasuklah cerita menjadi pelawak nombor satu dunia.

Pada saya mereka yang berjaya mempunyai satu sifat yang sama. Iaitu tidak memandang rendah antara satu sama lain, hormat-menghormati, memberi sokongan kepada yang lain dan tidak pula rasa diri mereka di level lain.

Perkara ini betul-betul mengajar diri saya. Selama ini saya pandang orang yang tidak bekerja profesional adalah rendah dimata saya. Sebenarnya mereka ini lebih manusia daripada saya.

Selepas pada itu tanggapan saya amatlah berbeza apabila melihat seseorang. Tidak kira siapa, jaga (pak guard), pembasuh kereta, pembersih tandas, kontraktor pembersihan termasuk jururawat semuanya sama sahaja.

Tiada siapa kaya, tiada siapa miskin, tiada siapa hebat atau kuat semuanya sama. Yang membezakan kita cuma adab dan budi bahasa.

Percayalah, kita boleh buat orang gelak ketawa, suka pada kita, "like" gambar atau status kita tetapi kita tidak boleh paksa orang menghargai kita. Untuk dihargai kita perlu menghargai orang lain itulah rahsia orang berjaya.