t>

Breaking News

Polis Tidak Adil, Lepaskan Lelaki Hina Nabi, Ini Jawapan Peguam Untuk Netizens.

Oleh : Hasif Hasan
 

LELAKI HINA NABI DILEPASKAN DENGAN JAMIN POLIS

Saya tidak akan mengulas mengenai fakta kes kerana ianya terlalu awal untuk diulaskan, siapa yang bersalah juga tidak diketahui namun saya ingin mengulas mengenai proses tahanan reman dan diberi jamin polis terhadap lelaki yang menghina agama dan pemimpin agama.

Reman ini diambil setelah berlakunya sesuatu kejadian berunsur jenayah seperti menghina sesuatu agama atau pemimpin agama.

Perlu dijelaskan bahawa reman ini bukanlah merupakan sesuatu hukuman bagi suspek dan tempat suspek ditahan juga bukannya di dalam penjara tetapi di dalam lock up polis bagi membantu siasatan polis.

Suspek masih lagi belum didakwa dan dituduh di mahkamah cuma dibawa ke mahkamah bagi tujuan mendapatkan perintah tahanan reman sahaja.



Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pihak polis hanya boleh menahan seseorang itu selama 24 jam sahaja.

Seseorang tersebut tidak boleh ditahan melebihi tempoh ini melainkan pihak polis telah mendapat perintah reman daripada seorang majistret.

REMAN

Di bawah Seksyen 117(1) Kanun Acara Jenayah, seorang majistret hanya wajar membuat perintah reman sekiranya didapati bahawa penyiasatan polis tidak boleh diselesaikan dalam masa 24 jam.

Pihak polis hendaklah memberi alasan-alasan untuk menahan seseorang di dalam lokap sementara siasatan dijalankan oleh polis.

TEMPOH REMAN

Bagi kesalahan yang membawa hukuman penjara kurang dari 14 tahun, perintah reman (pertama) selama maksimum sehingga 4 hari.

Pihak polis kemudiannya boleh memohon untuk melanjutkan reman selama maksimum 3 hari dengan memberi alasan kenapa lanjutan masa diperlukan.

Contohnya seperti kesalahan di bawah seksyen 379 Kanun Kesiksaan iaitu mencuri.

Bagi kesalahan yang membawa hukuman penjara lebih dari 14 tahun pula, reman (pertama) adalah maksimum 7 hari.

Pihak polis boleh memohon lanjutan reman untuk 7 hari dengan alasan yang munasabah.

Contohnya kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Keseluruhan tempoh reman yang boleh dipohon pihak polis adalah selama 14 hari.

Sekiranya penahanan itu melebihi 24 jam tanpa perintah reman oleh majistret maka penahanan tersebut menjadi tidak sah dan pihak polis menghadapi risiko untuk disaman oleh suspek.

ALASAN REMAN

Majistret tidak boleh menerima sahaja permohonan polis untuk penahanan reman tanpa sebab dan alasan.

Majistret seharusnya berpuas hati bahawa terdapatnya alasan-alasan munasabah untuk memberikan perintah reman tersebut dan alasan-alasan ini wajar dikemukakan oleh polis.

Begitu juga jika pihak polis ingin melanjutkan reman (selepas tempoh reman pertama berakhir), alasan-alasan yang dikemukakan juga mesti berkaitan dengan keperluan polis untuk melanjutkan tahanan orang tersebut.

Kelazimannya reman dipohon kerana pihak polis memerlukan masa untuk menjalankan siasatan, perlu mengambil keterangan suspek, mengesan penglibatan suspek dan mendapatkan segala bukti yang ada.

Antara alasan lain ialah jika suspek tersebut tidak ditahan reman, terdapat kemungkinan suspek akan melarikan diri atau akan mengganggu saksi-saksi atau bahan bukti jika beliau tidak direman.

Majistret mempunyai tanggungjawab untuk mengimbangi hak-hak orang yang ditahan dengan keperluan pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Setelah Majistret berpuas hati dengan alasan-alasan yang dikemukakan polis, Majistret boleh memberikan perintah tersebut.

Sekiranya majistret tidak membenarkan reman, atau tempoh reman telah berakhir, maka orang yang ditahan harus dibebaskan.

Apa apa tahanan selepas itu adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Lazimnya majistret akan membenarkan permohonan polis bagi mendapatkan bukti dan maklumat dari suspek tersebut.

Pihak polis sewajarnya diberikan masa dan ruang yang mencukupi untuk menjalankan siasatan tetapi pada masa sama, hak-hak orang yang ditahan juga tidak boleh diabaikan.

Perlu diingat bahawa suspek hanya ditahan bagi membantu siasatan dan beliau masih belum disabit dan didapati bersalah oleh mahkamah.

Setelah reman berakhir maka pada kelazimannya kertas siasatan akan dihantar untuk tindakan pihak pendakwaraya sama ada untuk menuduh suspek di mahkamah atau memberi jaminan polis dahulu kepada suspek atau melepaskan suspek dari pertuduhan.

APABILA SELESAI REMAN

1- Menuduh di mahkamah
2- Memberi jaminan polis


Jaminan polis juga bertujuan bagi pegawai penyiasat melengkapkan kesemua dokumen dan bukti sebelum menuduh suspek di mahkamah.

Bebas di bawah jamin polis bermaksud siasatan pihak polis ke atas suspek telah selesai dan yang kena jamin masih belum 'selamat' bagi maksud sebenar.

Suspek masih perlu melapor diri di balai polis mengikut terma jamin diri tersebut seperti contoh sebulan sekali.

Suspek pada bila bila masa boleh diarahkan pergi ke mahkamah untuk dituduh, dijamin dan dibicarakan.

Jika disabitkan selepas perbicaraan, hukuman masih tetap ada buat suspek.

(Jamin polis hanya perlu penjamin dan akuan mulut sahaja dan tidak perlu membayar apa apa kepada pihak polis sebagai cagaran)

Terdapat juga memungkinkan suspek akan dilepaskan dari pertuduhan setelah berakhirnya tempoh reman sekiranya tidak ada bukti yang ditemui oleh pihak polis untuk mengaitkan suspek dengan kejadian jenayah yang berlaku.

Sekian.