t>

Breaking News

Satu Lagi Kanak-Kanak Mati Angkara Difteria Di Johor Bharu Kerana Tidak Pernah Divaksinkan.

Sebentar tadi KKM dalam satu kenyataan memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dua tahun mati angkara terkena jangkitan difteria. Rekod kesihatan menunjukkan kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang vaksinisasi semenjak dilahirkan.

Berikut adalah kenyataan penuh;

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan kejadian satu (1) kes kematian disyaki akibat jangkitan difteria di daerah Johor Bahru pada 21 Februari 2019. Kes adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan. Kes tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir. Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019. 



Kes telah dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari 2019 dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria. 

Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari 2019 dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure. Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis (infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut. Pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.

KKM telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

Bagi tahun 2019 sehingga kini, terdapat satu kes difteria yang telah disahkan di Malaysia. Pada tahun 2018, sebanyak 18 kes dengan lima (5) kematian dilaporkan di Malaysia di mana empat (4) daripada lima (5) kematian ini tiada menerima imunisasi. Kesemua kematian difteria bagi tahun 2018 melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Sehubungan dengan itu, KKM ingin menasihati orang awam terutamanya ibu-bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain. Pastikan anak anda diberikan imunisasi. Imunisasi adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat. 


Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan kanak-kanak lain.

Sehubungan itu, ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihatkan agar tampil untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 


Bagi kanak – kanak yang telah tercicir suntikan, bolehlah segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
23 Februari 2019