t>

Breaking News

Rupanya Kejadian Di Rantau Bukan Kali Pertama Kereta Polis Diselongkar Ahli Parti..

Baru-baru ini dua anggota polis diarahkan untuk memberikan kerjasama membuka bonet kenderaan mereka kerana disyaki mempunyai kertas undi. 

Kejadian berlaku ketika hari pengundian di PRK Rantau.

Anggota polis itu diarahkan oleh ahli parti (dipercayai PKR) untuk membenarkan kenderaan mereka diselongkar atas alasan mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pihak polis terpaksa memberikan kerjasama dengan membuka bonet kenderaan mereka atas alasan mengelakkan kekecohan. 



Ketika ramai netizens mengulas kejadian itu dengan mengkritik pihak-pihak yang melangkaui tugas polis, terdapat salah seorang netizen yang dikenali sebagai Roji Kawi berkongsikan insiden yang seumpamanya yang pernah berlaku di Sibu suatu ketika dahulu.

Insiden itu juga dilakukan oleh parti yang memerintah kerajaan kini.

Bacalah perkongsiannya dibawah ini;

Oleh : Mohd Roji Kawi Abdullah
 

Kejadian seperti ini terhadap kenderaan polis, bukan yang pertama berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Pada malam pengundian PRU-13 di Pusat Penjumlahan Undi Parlimen Sibundi Dewan Suarah Sibu, insiden sama berlaku apabila sekumpulan samseng menahan kereta peronda polis dan kemudian menyuruh dua anggota di dalamnya keluar sebelum mereka menggeledah kereta itu kononnya untuk mencari kertas undi yang cuba diseludup masuk ke dalam pusat penjumlahan. 

Samseng-samseng itu turut menggeledah sebuah Land Cruiser yang digunakan oleh anggota LSF atas alasan sama. 

Malah beberapa rakan wartawan akhbar Cina turut menjadi mangsa apabila beg kamera mereka di selongkar dan seorang daripada wartawan itu dilondeh seluarnya kerana samseng itu dakwa dia seludup masuk kertas undi. 

Kejadian itu berlaku di depan mata saya serta beberapa rakan media yang membuat liputan di pusat penjumlahan undi berkenaan. Ketika mereka bertindak kurang ajar dan biadap itu, DAP sebenarnya sudah menang, cuma menunggu pengumuman rasmi. 

Kalaulah DAP kalah, tak taulah apa lagi tindakan yang akan samseng-samseng itu buat. Seperti yang berlaku di Rantau, kejadian di Sibu itu juga polis terpaksa mengalah sebab jika polis bertindak tegas, samseng yang terpekik terlolong itu pasti bertindak lebih jauh lagi sehingga boleh mencetus ketenteraman awam. 

Ya memang benar kita ada undang-undang, tetapi dalam banyak kes, samseng-samseng itu akhirnya akan diangkat sebagai hero dan mereka akan dibela oleh sekumpulan pengamal undang-undang. Betulkan jika saya silap dalam hal ini. Terima kasih.

-------
Ini laporan saya berhubung insiden 5 Mei 2013.

Sibu : Tiga wartawan tempatan yang dikasari penyokong parti pembangkang di pusat penjumlahan undi Parlimen Sibu di Dewan Suarah di sini, malam kelmarin, membuat laporan polis, semalam.

Laporan polis itu dibuat tiga wartawan berusia 29 hingga 32 tahun iaitu dua dari Sin Chew Daily dan seorang dari Borneo Post dengan seorang daripadanya wanita, di Balai Polis Sentral, jam 4 petang semalam.

Jurucakap wartawan terbabit berkata, mereka membuat laporan sebagai rujukan dan melindungi mereka daripada sebarang kejadian tidak diingini.

“Laporan ini juga dibuat selepas kami diperlakukan dengan biadab serta tindakan penyokong pembangkang yang membelakangi undang-undang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, tiga wartawan terbabit yang baru tiba dari sebuah lagi pusat penjumlahan undi ditahan sekumpulan penyokong pembangkang yang menuduh mereka sebagai ejen Barisan Nasional (BN) yang cuba menyeludup masuk kertas undi hantu ke Dewan Suarah Sibu.

Kumpulan penyokong pembangkang yang mengerumuni tiga wartawan itu juga menyelongkar beg kamera dan laptop sambil mengugut mereka.

Wartawan itu menunjukkan pas rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pas media Jabatan Penerangan, namun tidak diendahkan penyokong yang dipercayai anggota kumpulan samseng itu.

Tindakan keterlaluan

Malah salah seorang wartawan lelaki berusia 29 tahun diarah membuka seluar kerana kumpulan penyokong itu mengesyaki beliau menyorok kertas undi di dalam seluar.

“Tindakan penyokong pembangkang terhadap wartawan yang sedang menjalankan tugas ini amat keterlaluan seolah-olah mereka berkuasa untuk membuat pemeriksaan ketika itu,” katanya.

Sebelum itu, kekecohan tercetus di luar pusat penjumlahan itu apabila sekumpulan kira-kira 200 penyokong pembangkang membuat kecoh dengan menjerit menuduh SPR melakukan penipuan.

Mereka juga bertindak menahan petugas SPR yang membawa masuk peti undi selain menyelongkar kereta peronda polis kerana mendakwa membawa kertas undi hantu.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit berhenti membuat kecoh selepas calon DAP, Oscar Ling Chai Yew, diumum sebagai pemenang Parlimen Sibu kira-kira jam 11 malam. - 15 April 2019.