t>

Breaking News

Jangan Biar Kanak-Kanak Bawah 6 Tahun Guna Ubat Gigi Dewasa.

Oleh : Iqbal Rosali

Ubat gigi biasa atau ubat gigi dewasa PERLU DIELAKKAN digunakan oleh kanak-kanak. Apatah lagi bila kanak-kanak itu dibiarkan gosok sendiri tanpa pengawasan ibu bapa, dan kuantiti yang digunakan tidak dikawal.


Kanak-kanak dalam kategori risiko rendah karies tidak perlu gunakan ubat gigi dewasa yang mengandungi flourida 1000 - 1200 ppm. Mereka tiidak perlukan flourida sebegitu banyak. Ubat gigi kanak-kanak berflourida hanya ada sekitar 600 ppm. Ianya sudah memadai.

Walaubagaimanapun, untuk kanak-kanak dalam kategori risiko tinggi karies, boleh gunakan ubat gigi dewasa atas nasihat doktor supaya kanak-kanak tersebut mendapat flourida yang mencukupi dan membantu mencegah karies.

Sebab itu penting pemeriksaan gigi, supaya kita boleh tahu anak anda dalam kategori rendah atau tinggi karies.

Penggunaan ubat gigi berflourida PERLU DIBANTU oleh ibu bapa. Jangan biarkan anak gosok gigi sendiri tanpa pemantauan.

Umur 0-3 tahun, ubat gigi cuma sebesar sebiji beras. Selepas ubat gigi diletakkan di atas berus gigi, ratakan ubat gigi itu menjadi satu lapisan nipis.

Pendedahan kepada flourida berlebihan boleh menyebabkan flourosis (tompokan putih) pada gigi kekal yang belum tumbuh. Walaubagaimanapun, flourosis tidak akan terjadi pada gigi kekal yang sudah tumbuh keluar.

Oleh itu, penggunaan ubat gigi dewasa PERLU DIELAKKAN untuk kanak-kanak sehingga gigi kekal tumbuh. Bawalah anak anda untuk pemeriksaan gigi untuk mengetahui tahap kebersihan dan kesihatan gigi mereka.